
PETALING JAYA – Pelakon Zizie Izette menafikan dakwaan tidak berasas mendakwa suaminya yang juga bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, meninggalkan harta pusaka bernilai RM1.17 bilion di dalam sebuah akaun bank.
Pemilik nama penuh Zizie Izette Abdul Samad, 48, itu mencabar pihak yang menyebarkan fitnah tersebut untuk mengemukakan bukti rasmi penyata akaun bank berkaitan.
“Kalau betul arwah suami saya tinggalkan RM1.17 bilion dalam akaun, silakan tampil dengan bukti seperti penyata bank dan butiran akaun, saya cabar tunjukkan.
“Percayalah, tiada siapa yang lebih gembira selain saya dan lima anak kami sekiranya perkara ini benar-benar wujud,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Dia turut menegaskan bahawa khabar angin tersebut adalah tidak masuk akal memandangkan tidak pernah mengetahui kewujudan jumlah wang sebanyak itu.
“Hebat betul orang luar lagi tahu daripada tuan badan sendiri yang sampai sekarang masih mencarinya jika benar ada.
“Janganlah main petik nama arwah sesuka hati untuk bergosip kerana arwah sudah tiada lagi untuk mempertahankan diri di dunia,” katanya lagi.
Kakak kepada aktor, Shaheizy Sam itu turut menasihati orang ramai agar berhati-hati dalam menyebarkan spekulasi dan fitnah melibatkan individu yang sudah meninggal dunia.
“Nak bergosip berpada-padalah, banyakkan istighfar kerana takut nanti di akhirat kena jawab satu persatu di hadapan Allah SWT.
“Semoga kita semua dijauhkan daripada terus terjerumus dalam dosa fitnah yang merosakkan ini,” ujarnya.
Dalam perkongsian lain, dia turut memuat naik tangkap layar perbualan dengan seorang individu yang berkongsi kepadanya tentang khabar angin arwah Bung mempunyai wang simpanan yang banyak seperti didakwa segelintir pihak.
Zizie bahkan terkejut dengan perkara tersebut namun sempat berseloroh kehidupannya lebih senang dan tidak perlu menjalankan bisnes untuk mencari pendapatan.
“Untuk kali ini, secara jujurnya saya berharap khabar angin itu benar dan bayangkanlah sekiranya perkara tersebut memang betul-betul ada,” katanya berseloroh.
Terdahulu, Zizie mendirikan rumah tangga dengan Bung Moktar pada 2009 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata serta turut membesarkan dua anak angkat.
Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember 2025 di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kalau betul arwah tinggalkan RM1.17 bilion, sila kemuka bukti’ appeared first on Kosmo Online.
