'Kalau boleh ganti, biar saya sakit' - Gusi berdarah & badan lebam disangka leukemia, Nur Shahida dedah detik cemas Qadejah sakit

Health & FitnessFamily & Parenting
8 May 2026 • 4:21 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Kalau boleh ganti, biar saya sakit' - Gusi berdarah & badan lebam disangka leukemia, Nur Shahida dedah detik cemas Qadejah sakit

DEBARAN hati seorang ibu hanya Tuhan sahaja yang tahu, bila mana melihat anak kesayangan tiba-tiba jatuh sakit memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, apatah lagi bila melibatkan simptom yang nampak agak serius.

Itulah yang dirasai oleh Datin Sri Nur Shahida Mohd Rashid apabila puteri tercintanya, Qadejah El Zahra atau mesra disapa Ces, mula menunjukkan perubahan fizikal yang merisaukan hingga memaksa mereka segera mendapatkan rujukan pakar.

Dalam satu pertemuan santai bersama SinarPlus baru-baru ini, Nur Shahida berkongsi kisah di sebalik pintu hospital yang selama ini disimpan kemas daripada pengetahuan umum.

"Saya rasa bukan saya sajalah, mana-mana pun yang bergelar ibu kita memang akan ada rasa kalau anak sakit, biarlah kita yang sakit. Kita sanggup berkorban segala-galanya yang penting anak kita sihat," luah Shahida dengan nada yang cukup mendalam.

Debaran itu memuncak apabila Ces mula menunjukkan tanda-tanda fizikal seperti badan lebam-lebam, gusi kerap berdarah, dan pening kepala.

Walaupun pada awalnya beliau menganggap lebam itu mungkin disebabkan kurang air atau keletihan biasa, namun apabila simptom itu berterusan, kerisauan mula menghantui diri.

Tambahan pula, Ces seorang yang agak pendiam dan tidak suka mengadu jika tidak benar-benar sakit.

Satu berita yang benar-benar memberikan nafas lega buat isteri kesayangan Datuk Sri Aliff Syukri adalah apabila doktor mengesahkan bahawa kebimbangan terbesarnya terhadap penyakit kronik tidak berlaku.

"Saya lega bila first doktor kata memang confirm bukan leukemia. Itu saya dah lega banyak, barulah saya rasa boleh buat live, makan dengan tenang dan boleh fokus kerja dekat ofis semula," kongsinya.

Walaupun masih menunggu keputusan rasmi mengenai punca sebenar kesihatan anaknya itu, beliau yakin dengan kemajuan teknologi perubatan masa kini yang mampu memberikan rawatan terbaik buat anak perempuan itu.

Image from: 'Kalau boleh ganti, biar saya sakit' - Gusi berdarah & badan lebam disangka leukemia, Nur Shahida dedah detik cemas Qadejah sakit

Anak generasi Z

Menyentuh tentang gaya hidup anak keduanya itu, Shahida mendedahkan bahawa anak gadisnya itu bukanlah seorang yang aktif bersukan, malah lebih gemar menghabiskan masa di dapur membuat biskut dan kek.

Namun, sebagai ibu kepada anak-anak generasi Z, beliau mengakui cabaran terbesar adalah mengawal pemakanan mereka.

Walaupun masakan di rumah sentiasa tersedia, pengaruh aplikasi pesanan makanan sering kali membuatkan anak-anak cenderung mencuba makanan viral yang tinggi kandungan gula.

"Kadang-kadang apa benda yang viral itu dia orang nak makan, terutama pencuci mulut yang manis-manis.

"Benda inilah yang kita sebagai ibu bapa kena lebih pantau dan monitor," jelasnya lagi.

Kini, ibu kepada enam cahay mata itu mengambil pendekatan lebih tegas dalam soal kesihatan di rumah bagi mengukuhkan sistem imunisasi anak-anaknya.

Image from: 'Kalau boleh ganti, biar saya sakit' - Gusi berdarah & badan lebam disangka leukemia, Nur Shahida dedah detik cemas Qadejah sakit

Tiada lagi istilah 'pilih-pilih' kerana setiap pagi, beliau mewajibkan anak-anak mengambil minyak zaitun dan minyak kelapa dara sebagai rutin harian.

Walaupun pada mulanya mereka agak liat, beliau mempunyai cara tersendiri untuk memastikan arahan tersebut dipatuhi.

"Saya pesan dengan pembantu rumah, buat video siapa yang tak nak minum.

"Sekarang memang saya paksa balik, pagi dan petang wajib ambil untuk kuatkan imunisasi," katanya yang sempat menitipkan pesanan buat ibu bapa di luar sana agar sentiasa peka dengan perubahan kesihatan anak masing-masing.