‘Kalau bukan sebab L Krishnan, saya cuma penari joget’

EntertainmentMovie
26 Sep 2026 • 1:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kalau bukan sebab L Krishnan, saya cuma penari joget’

PETALING JAYA – Lebih 15 tahun tidak bersua, Seniwati Datuk Rosnani Jamil terkilan tidak dapat memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh legenda dan perintis filem Melayu, mendiang Tan Sri L. Krishnan yang meninggal dunia, kelmarin.

Rosnani, 86, berkata kali terakhir mereka bertemu itu adalah pada sambutan hari jadi sutradara tersohor era Jalan Ampas itu sekitar tahun 2011.

“Beliau tidak pernah melupakan rakan seperjuangan. Jasanya juga tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Tanpa mendiang serta Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Datuk Jamil Sulong, saya tiada dalam industri perfileman.

“Sebab itu saya sedih dan terkilan tidak dapat menatap wajah mendiang buat kali terakhir. Saya bercadang nak ke Chiang Mai bagi memberikan penghormatan terakhir tetapi tiada siapa boleh menemani saya ke sana,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mengenai keadaan mendiang, akui pelakon yang mesra disapa Mak Nani itu, isteri L Krishnan, Puan Sri Rukmanee memaklumkan kepadanya
tahap kesihatan beliau semakin merosot sejak bulan lalu.

Bercerita lanjut mengenai pertemuan terakhir mereka, pengarah filem Mawar Merah itu berkata, setiap tahun L. Krishnan akan mengadakan sambutan hari lahir dengan menjemput pelakon dan penggiat seni era filem hitam putih.

“Pada ketika itu, hanya saya dan Allahyarhamah Datin Maria Menado sahaja yang tinggal. Kalau tidak berjumpa pun, mendiang akan hubungi kami iaitu saya, Allahyarham Datuk S. Roomai Nor dan P. Ramlee.

“Namun selepas berkahwin dengan isterinya sekarang, mendiang berpindah ke Thailand. Usianya yang semakin meningkat juga menyebabkan tenaganya tidak secergas waktu dahulu,” ujarnya.

Berkongsi perkenalannya dengan sutradara asal Madras, India yang kemudian dibesarkan di Pulau Pinang itu, L Krishnan menawarkannya ke sesi uji bakat ketika bertemu di sebuah pusat hiburan, Kelab Happy.

“Waktu itu saya berumur 16 tahun, bekerja sebagai penari. Saya yang paling kurus dan gelap, tetapi mendiang minta saya datang uji bakat. Tak sangka saya berjaya dan digandingkan dengan P. Ramlee dalam filem Lupa Daratan.

“Filem itu meletup di pawagam membuatkan saya menjadi rebutan pengarah di Jalan Ampas. Kalau bukan sebab L Krishnan, saya cuma jadi penari joget,” katanya.

L Krishnan menghembuskan nafas terakhir di Chiang Mai, Thailand pada usia 104 tahun berikutan sakit tua, Khamis lalu.

Sepanjang kerjaya pengarahan, L. Krishnan mengarahkan lebih 30 filem Melayu yang turut dianggap sebagai khazanah penting dalam sejarah perfileman tanah air.

Selain mengarah, mendiang turut bertanggungjawab terhadap penubuhan Studio Merdeka di Hulu Kelang yang menjadi antara pusat penerbitan filem penting pada era kegemilangan filem Melayu.

Sumbangannya turut meliputi bidang pascaproduksi menerusi Gaya Film Berhad yang menyediakan perkhidmatan berkaitan kepada penggiat seni tempatan, selain antara figura di sebalik kegemilangan era Jalan Ampas. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Kalau bukan sebab L Krishnan, saya cuma penari joget’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved