‘Kalau semua berjalan lancar, saya nak bikin mini showcase’

EntertainmentMusic
13 Aug 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kalau semua berjalan lancar, saya nak bikin mini showcase’

DIAM bukan bererti hilang, sebaliknya penyanyi, Syafiq Farhain mengatur strategi untuk terus mewarnai industri muzik dengan pelbagai perancangan agar kekal relevan.

Ketika tekun menunaikan tanggungjawab hakiki sebagai anggota bomba, kebanyakan masa di hujung minggu pula dimanfaatkan dengan memenuhi undangan pentas.

Namun, impian tampil dengan naskhah terbaharu selepas kali terakhir menghasilkan single dua tahun lalu tetap berada di carta teratas usahanya untuk 2026 sehingga akhirnya Cerita Luka dapat dilancarkan baru-baru ini. 

Evolusi baharu 

Memperlihatkan evolusi baharu dalam perjalanan seninya, anak kepada vokalis Iklim, Allahyarham Saleem itu mengakui lagu terbabit bukan sekadar menandakan kemunculan semula, malah titik permulaan kepada identiti muzik lebih segar.

“Pertama kali mendengar Cerita Luka, saya terus menyukainya. Lagu ini menawarkan kelainan menerusi sentuhan moden slow rock balada dan berbeza daripada lagu yang pernah saya bawakan sebelum ini.

“Sebenarnya, terdapat 10 lagu terbaik daripada komposer berbeza yang dipertimbangkan. Namun, Cerita Luka paling dekat dengan jiwa saya dan sesuai dijadikan karya untuk menandakan kemunculan semula selepas dua tahun.

“Karya hasil ciptaan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh ini cukup menangkap perhatian saya sehingga saya yakin pendengar juga bakal jatuh cinta menikmati keindahan karya ini,” katanya ketika oelancaran lagu berkenaan, baru-baru ini.

Diterbitkan MVM Music Sdn. Bhd., tambah pemilik nama lengkap Nursyafiq Farhain A.M Salim, 33, itu, kerjasama sulung bersama Ikhwan dan Wan Saleh turut memberikan pengalaman baharu sepanjang proses rakaman. 

“Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Ikhwan dan Wan Saleh. Saya dapat merasakan perbezaan dalam cara mereka bekerja dan membimbing saya untuk mendapatkan penyampaian yang menepati emosi lagu.

“Saya berharap lagu ini bukan sahaja diterima oleh peminat sedia ada, malah dapat memperkenalkan sisi baharu Syafiq Farhain kepada pendengar,” ujarnya.

Mini album

Kongsinya, Cerita Luka juga merupakan permulaan kepada fasa baharu dalam kerjaya seninya, termasuk perancangan menghasilkan mini album selain mengadakan mini ‘showcase’ pada akhir tahun ini.

“Kiranya single ini adalah permulaan kepada perancangan seni saya selepas ini. Andai semuanya berjalan lancar, saya mahu menghasilkan sebuah mini album dan mengadakan mini ‘showcase’ sekitar hujung tahun ini.

“Harap peminat akan terus berikan sokongan dan bersama-sama mengikuti perjalanan baharu ini,” katanya.

Sementara itu, Ikhwan dan Wan Saleh pula meluahkan rasa syukur kerana proses rakaman berjalan lancar serta mengakui mudah berurusan dengan Syafiq meskipun kali pertama kali berkolaborasi.

“Kami agak berdebar kerana setiap penyanyi mempunyai gaya dan cara kerja yang berbeza apatah lagi julung bekerjasama.

“Namun, Syafiq  tahu apa yang dimahukan sehingga kerja rakaman dapat diselesaikan dalam tempoh dua jam sahaja,” katanya.

Cerita Luka kini dapat diikuti di semua platform penstriman digital, manakala video muzik rasminya sudah ditayangkan menerusi saluran YouTube MVM Music bermula 5 Ogos lalu.

 

The post ‘Kalau semua berjalan lancar, saya nak bikin mini showcase’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved