
KUALA LUMPUR - Pihak sekolah diingatkan supaya tidak memotong Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 sebaliknya bantuan itu perlu diberikan sepenuhnya kepada ibu bapa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan ia bagi mengelakkan penyalahgunaan bantuan yang bertujuan khusus untuk membantu keluarga membuat persiapan anak-anak bagi sesi persekolahan.
“RM150 ini diperuntukkan oleh Kerajaan Madani khusus untuk persiapan persekolahan. Oleh itu, ia mesti diserahkan sepenuhnya.
“Jika ibu bapa menerima walaupun kurang 10 sen, atau jumlahnya berkurang walaupun satu sen, mereka perlu memaklumkan kepada kami (Kementerian Pendidikan) kerana bantuan ini tidak boleh dikurangkan,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan cek Bantuan Awal Persekolahan 2026 peringkat negeri Pulau Pinang, hari ini.
Fadhlina menambah, bantuan RM150 yang diperuntukkan itu juga tidak boleh digunakan untuk menampung sebarang bayaran lain, termasuk yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), lapor Bernama.
Kerajaan, katanya, memperuntukkan lebih RM800 juta bagi pelaksanaan BAP pada tahun ini, yang memberi manfaat kepada kira-kira 5.2 juta murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam di seluruh negara.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga menambah setakat ini pengagihan bantuan tersebut berjalan lancar, dengan kebanyakan ibu bapa telah mengambil BAP pada minggu pertama sesi persekolahan memandangkan ramai yang mengambil cuti untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
Beliau berharap pengagihannya dapat diselesaikan pada minggu ini dengan lebih 10,000 sekolah yang terlibat telah menerima peruntukan bagi tujuan penyaluran segera.
Dalam perkembangan berasingan, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan akan memastikan semua pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa, menandatangani Dasar Perlindungan Murid di sekolah selewat-lewatnya minggu hadapan.
Beliau berkata dasar tersebut menangani isu seperti buli, gangguan seksual, penderaan serta kesihatan mental murid.
Semalam, Fadhlina mengulangi komitmen kementerian untuk menangani isu buli di sekolah, sambil menyatakan bahawa penandatanganan Dasar Perlindungan Murid mencerminkan ikrar bersama untuk menjaga, memupuk dan melindungi murid.
Sementara itu, beliau berkata kementerian akan menyiasat aduan ibu bapa berhubung ketidakselarasan dalam sistem permohonan sekolah berasrama dan akan mendapatkan maklumat lanjut bagi memudahkan siasatan menyeluruh. - 13 Januari, 2026
The post ‘Kalau terima kurang 10 sen pun, lapor pada KPM’ Fadlina ingatkan sekolah jangan potong BAP appeared first on Scoop.

