
SHAH ALAM - Usul memperkemaskan peraturan melibatkan kes penggunaan kalimah ALLAH akan dibentangkan di Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada Julai tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan itu dilakukan bagi memperkemaskan beberapa peraturan tertentu supaya keputusan berhubung kes penggunaan kalimah ALLAH dapat dimuktamadkan.
“Tuanku Yang di-Pertuan Agong memperkenan supaya kertas Jemaah Menteri dan kita akan rujuk Majlis Kemajuan Islam yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, akan memberikan beberapa pandangan memperkemaskan peraturan ini supaya keputusan muktamad (penggunaan kalimah ALLAH) tidak boleh dipakai di Semenanjung, boleh dengan syarat tertentu untuk Sabah dan Sarawak.
“Insya-ALLAH akan dibentangkan di Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada bulan Julai nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri sebelum menarik balik rayuan dalam kes kalimah ALLAH yang memberi implikasinya terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan pandangan yang diterima pakai oleh kerajaan pada hari ini iaitu kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.
Jelasnya, tidak timbul soal bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu atau memberi ruang kepada golongan bukan Islam untuk menggunakan kalimah ALLAH seperti mana yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.
“Pendirian kerajaan hari ini dalam keputusan Jemaah Menteri memperakui keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu.
“Satu, nama ALLAH tidak boleh digunakan di Semenanjung Tanah Melayu. Kedua, kelonggaran diberikan dengan syarat-syarat untuk Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
AKAN MENYUSUL
