
KUALA LUMPUR - Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBKL), Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu, berkuat kuasa 17 April ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan itu adalah bagi mengisi kekosongan jawatan terbabit, selepas pendahulunya, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, tamat tempoh pelantikan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 31 Mac lalu.
Menurutnya, ia adalah selaras dengan subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190].
Beliau berkata, Kamarulzaman, 59, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ukur (Pengurusan Harta Benda) dari Universiti Teknologi Malaysia (1987).
Katanya, tokoh terbabit mula berkhidmat di DBKL pada 1991 dan mempunyai 32 tahun pengalaman dalam pengurusan bandaraya, selain dasar perancangan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL.
“Saya percaya dengan pengalaman dimiliki, beliau mampu memperkukuhkan lagi tadbir urus serta fungsi pihak berkuasa tempatan yang dilaksanakan DBKL, agar terus memberi faedah kepada rakyat dan kerajaan.
“Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada Mahadi yang tamat tempoh pelantikan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 31 Mac 2023,” katanya. - Getaran, 14 April 2023

