Kamera Nikon Z6 III Kini Dilancarkan Dengan Sensor CMOS 24.5 MP

TechnologyDigital
18 Jun 2024 • 11:52 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kamera digital Nikon Z6 III telah dilancarkan secara rasmi dengan sensor CMOS 24.5 MP. Terdapat juga sokongan sistem penstabilan imej yang terbina dalam badan (IBIS) yang membolehkan kamera ini menggerakkan sensor sehingga dapat menghasilkan imej sebesar 96MP. Mod untuk mencipta bingkai 24MP juga tersedia untuk menghasilkan gambar yang lebih berkualiti bersama tetapan warna yang lebih baik.

Sensor juga menawarkan julat kadar sensitiviti pencahayaan di antara ISO100 hingga 64,000 dan ISO boleh dikembangkan kepada 50 hingga 204,800. Kemampuan video pula sehingga resolusi 6K, RAW 12-bit 6K/60p N-RAW dan 6K/30p ProRes RAW.

image is not available

Z6 III juga menjanjikan sistem autofokus yang sangat pantas dengan ia disokong dengan teknologi AI. Sistem autofokus pada kamera ini juga adalah 20% lebih pantas daripada model sebelum ini, Z6 II. Fokusnya adalah tepat dan cepat apabila mengesan sebarang subjek dalam gambar seperti manusia, haiwan kenderaan dan sebagainya.

image is not available

Pengatup mekanikal Z6 III boleh digunakan untuk menangkap sehingga 14 bingkai sesaat (RAW+JPEG resolusi penuh dengan AF/AE) manakala pengatup elektronik pula sehingga 20 bingkai sesaat dengan rakaman RAW. Kamera ini cukup berguna untuk menangkap subjek yang bergerak pantas tepat pada waktunya.

Nikon Z6 III kini telah tersedia di pasaran pada harga $2,500 (~RM11,787) untuk badan sahaja, atau$3,100 (~RM14,616) bersama-sama dengan lensa kit Nikkor Z 24-70mm f/4 S. Bagi mereka yang berminat, pendaftaran untuk pembelian kini boleh dilakukan di laman web rasmi Nikon.