TEMERLOH – Seorang anggota tentera yang bakal melangsungkan perkahwinan minggu depan terpaksa mengimamkan jenazah tunangnya, Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, selepas wanita itu maut dalam kemalangan jalan raya bersama adiknya di Kilometer 24, Jalan Temerloh-Bandar Jengka berhampiran Felda Jengka 19 pada Jumaat.
Lebih menyayat hati, pasangan yang menjalin hubungan cinta sejak zaman persekolahan itu hanya tinggal beberapa hari sebelum disatukan sebagai suami isteri selepas tujuh tahun mengenali antara satu sama lain.
Tunang mangsa, Mohamad Alif Iskandar Azhar, 24, berkata, mereka sedang menghitung hari menanti detik bahagia itu selepas segala persiapan perkahwinan disiapkan sepenuhnya.
**media[3557277]**
ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik perempuan maut dalam nahas
Jenazah dua beradik maut nahas dikebumi satu liang lahad
“Kami sudah membuat bayaran untuk tempahan lokasi majlis di sebuah hotel di Temerloh, katering dan persalinan. Namun segala impian yang dibina sepanjang tujuh tahun perkenalan berakhir dengan cara yang tidak disangka.
“Walaupun masih terkejut dengan pemergiannya, saya reda dengan ketentuan ALLAH,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis pengebumian jenazah tunang dan bakal adik iparnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gau Baru di sini pada Sabtu.
Menurut Mohamad Alif Iskandar, mereka turut merancang mengenakan tema pakaian berwarna putih pada hari perkahwinan kerana warna tersebut sesuai dipadankan dengan pakaian istiadat tentera yang bakal dipakainya.
“Pilihan warna putih dibuat kerana sesuai dengan pakaian istiadat tentera yang akan saya pakai pada hari perkahwinan nanti.
“Semua yang kami rancang dan siapkan kini hanya tinggal kenangan,” katanya.
**media[3557278]**
Berkongsi perbualan terakhir bersama arwah, beliau berkata, tunangnya sempat menghubunginya melalui telefon sebelum keluar berniaga di Bandar Jengka pada hari kejadian.
“Dia berpesan supaya saya berhati-hati ketika memandu sebelum menamatkan panggilan.
“Kami sepatutnya bertemu sebelum majlis berlangsung, namun panggilan yang saya terima daripada kakaknya petang semalam mengubah segalanya,” katanya.
Menurutnya, beberapa hari sebelum kejadian, mereka masih berbincang mengenai persiapan akhir perkahwinan dan perkara-perkara yang perlu diselesaikan menjelang hari bahagia tersebut.
“Arwah sangat gembira kerana hubungan kami yang bermula sejak bangku sekolah akhirnya bakal disatukan dalam ikatan perkahwinan.
“Dia juga sangat teruja menjemput saudara-mara dan rakan-rakan untuk hadir ke majlis kami,” katanya.
**media[3557279]**
Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 malam Jumaat, Dinie Hanis dan adiknya, Dinie Nasuha, 19, maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser yang dinaiki mereka dalam perjalanan ke tempat berniaga di Bandar Jengka terbabit dalam kemalangan di lokasi kejadian.
Siasatan awal polis mendapati kenderaan yang dinaiki mangsa sedang bergerak dari arah Temerloh menghala ke Bandar Jengka sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Axia yang datang dari arah bertentangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik perempuan maut dalam nahas
Jenazah dua beradik maut nahas dikebumi satu liang lahad






