'Kami bersyukur ALLAH jaga surau ini daripada hangus'

10 Jun 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Kami bersyukur ALLAH jaga surau ini daripada hangus'
Di sebalik tragedi kebakaran yang memusnahkan 29 buah rumah di Kampung Cina, Gok Kapur, Kota Bharu sebuah surau yang terletak berhampiran kawasan itu terselamat daripada dijilat api sehingga disifatkan penduduk sebagai satu keajaiban. Foto:UPKN
Image from: 'Kami bersyukur ALLAH jaga surau ini daripada hangus'
Surau berkenaan telah melalui tiga kali kerja baik pulih sepanjang hayatnya dan sentiasa menjadi pusat ibadah serta aktiviti keagamaan penduduk setempat.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Image from: 'Kami bersyukur ALLAH jaga surau ini daripada hangus'
Surau berkenaan yang telah wujud sejak sebelum kelahirannya menjadi satu-satunya tempat perlindungan buat sebahagian mangsa selepas kebakaran besar tersebut. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU – Di sebalik tragedi kebakaran yang memusnahkan 29 buah rumah di Kampung Cina, Gok Kapur di sini, sebuah surau yang terletak berhampiran kawasan itu terselamat daripada dijilat api sehingga disifatkan penduduk sebagai satu keajaiban.

Penduduk asal kampung itu, Mohd Yusoff Ahmad, 65, berkata, surau berkenaan yang telah wujud sejak sebelum kelahirannya menjadi satu-satunya tempat perlindungan buat sebahagian mangsa selepas kebakaran besar tersebut.

Menurutnya, kedudukan surau itu sangat hampir dengan rumah-rumah yang hangus terbakar, namun bangunan berkenaan langsung tidak mengalami kerosakan akibat kebakaran.

**media[3546142]**

"Kami bersyukur kepada ALLAH kerana menjaga surau ini daripada turut musnah dalam kebakaran.

"Jarak surau ini dengan kediaman yang terbakar terlalu dekat, tetapi ia langsung tidak dijamah api. ALLAH bagi surau ini selamat dan kini menjadi tempat mangsa-mangsa kebakaran berlindung," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Yusoff memberitahu, surau berkenaan telah melalui tiga kali kerja baik pulih sepanjang hayatnya dan sentiasa menjadi pusat ibadah serta aktiviti keagamaan penduduk setempat.

**media[3546144]**

"Surau ini sudah wujud sebelum saya dilahirkan lagi dan sudah tiga kali dibaik pulih sepanjang saya tinggal di sini.

"Ia sentiasa dimeriahkan dengan solat lima waktu, solat sunat Tarawih, Aidilfitri dan Aidiladha. Saya sendiri kadang-kadang menjadi imam secara bergilir-gilir bersama dua lagi anak muda di kampung ini," katanya.

Menurut beliau, surau itu mampu menampung sehingga 100 jemaah pada satu-satu masa.

Katanya, sebahagian mangsa yang kehilangan tempat tinggal kini menumpang sementara di surau berkenaan sementara menunggu bantuan dan penempatan yang lebih sesuai.

Dalam kejadian pada Isnin, kebakaran besar di Kampung Cina, Gok Kapur memusnahkan 29 daripada keseluruhan 45 buah rumah di kawasan tersebut.

Seramai 110 penduduk terjejas dalam insiden yang disifatkan antara kebakaran terbesar pernah berlaku di kampung berkenaan.