
PETALING JAYA: “Jika benar sudah sampai takdir mereka untuk pergi, sekurang-kurangnya kami berharap ada bukti dan kepastian.”
Demikian luah ahli keluarga kepada salah seorang rakyat Malaysia, Izza Nazira Muhammad Nasir yang masih menunggu perkembangan bapa saudaranya, Muhammad Nasir Abdul Talib yang gagal dikesan selepas 11 hari tragedi banjir Nepal.
Izza Nazira berkata, usaha mendapatkan maklumat secara langsung di lokasi kejadian masih berdepan kekangan apabila tiada wakil keluarga rakyat Malaysia dibenarkan pergi kawasan ground zero di Nepal.
“Kami sekeluarga setiap masa menanti panggilan sama ada dari Wisma Putra atau pihak berkuasa sekiranya berjaya menjejaki pak cik. Namun hingga kini, tiada lagi sebarang maklumat.
“Kalau masih ada rezeki dan mereka masih hidup, kami sangat bersyukur. Kami masih berharap dan terus berdoa,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Muhammad Nasir adalah antara sembilan rakyat Malaysia dalam Team Loe yang masih hilang dengan kumpulan itu diketuai Pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Mohd Fakhrul Munir Mohd Iza.
Dalam pada itu, Izza Nazira memaklumkan, keluarga dan isteri mangsa, Jamaliah Tengku Ismail berharap ada perkembangan positif diterima dalam masa terdekat susulan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dijangka berlepas ke Nepal esok bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Setakat ini, katanya, mereka tidak berhubung secara langsung dengan pihak Nepal sebaliknya mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan bagi mengumpulkan maklumat dan mendapatkan perkembangan terkini.
Jelasnya, mereka di Nepal ada mendapatkan bantuan di balai polis di sana bagi membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekiranya terdapat rakaman yang menunjukkan kenderaan yang dinaiki ‘Team Loe’.
“Selain itu, mereka ada juga bagi maklumat berkaitan pakaian yang dipakai oleh mereka pada hari kejadian bagi usaha pencarian dan pengecaman sekiranya terdapat sebarang petunjuk.
“Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada sebarang perkembangan atau maklumat lanjut yang dapat mengesahkan keberadaan mereka,” katanya. – UTUSAN
The post ‘Kami hanya mahu kepastian’ appeared first on Utusan Malaysia.
