
BESUT – Usia tua dan kudrat yang terbatas sedikit pun tidak mematahkan semangat sepasang suami isteri dari Kampung Baru Tok Dor di sini, untuk terus menumpahkan kasih sayang kepada anak perempuan mereka yang berstatus orang kurang upaya (OKU).
Bagi Halimah Said, 65, dan suaminya, Mat Ail Mamat, 78, tanggungjawab menjaga Rosnani Mat Ail, 41, yang merupakan anak keempat daripada 11 beradik itu tetap sama seperti menguruskan seorang bayi walaupun usianya sudah mencecah empat dekad.
“Dia (Rosnani) bukan sahaja terlantar sepanjang masa, malah tidak boleh bercakap.
“Bagaikan bayi, dia akan merengek jika lapar dan hanya bergantung kepada susu khas,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Baru Tok Dor di sini, kelmarin.
Halimah berkata, Rosnani disahkan mengalami kecacatan kekal akibat kekurangan oksigen sewaktu dilahirkan dan pernah ditahan selama dua minggu di Hospital Raja Perempuan Zainab II yang dahulunya dikenal sebagai Hospital Besar Kota Bharu.
“Sewaktu bayi, perkembangan Rosnani tidak aktif seperti yang lain, malah kaki dan tangannya mula membengkok semasa berusia lapan bulan.
“Ini menyebabkan dia terlantar sehingga sekarang. Sampai hari ini, saya dan suami perlu menjaganya seperti bayi termasuk memakaikannya lampin pakai buang,” katanya.
Halimah berkata, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan semuanya habis digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan susu khas untuk Rosnani.
Menurutnya, sebahagian daripada 10 anak-anaknya yang lain banyak membantu kewangan dan kudrat demi kebajikan Rosnani.
“Selagi saya dan suami masih dipanjangkan umur, kami akan jaga amanah yang diberikan ini sebaik mungkin hingga ke akhir hayat,” katanya.
Sementara itu, orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank Mat Ail bernombor 1111841000131685 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubungi Halimah di talian 011-25172250.
The post ‘Kami jaga Rosnani seperti seorang bayi’ appeared first on Kosmo Digital.
