
REMBAU – “Saya ingatkan atap runtuh, rupa-rupanya kereta rempuh pagar dan tiga kereta kami.”
Demikian cerita Mohamad Hamidi Mustaffa, 38, mengenai detik cemas apabila sebuah kereta jenis Honda City yang merempuh kediamannya di Taman Seri Rembau, Fasa 3, di sini semalam.
Menurut lelaki itu, sebaik menyedari kejadian pada pukul 4.30 pagi, dia segera keluar sebelum mendapati pintu kaca pecah.
Katanya, ketika kejadian, dia bersama isteri, ibu dan dua anak saudaranya berusia 19 dan 23 tahun sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman.
“Apabila pintu dibuka, saya nampak pintu pagar sudah pecah. Saya nampak pemandu itu mengundurkan keretanya, tetapi saya sempat menghalang dan mencatat nombor pendaftaran sebelum menghubungi polis,” katanya.
Rempuhan itu menyebabkan tiga kereta jenis Proton Persona, Perodua Myvi dan Perodua Axia mengalami kerosakan teruk, selain pintu pagar, dinding, pintu kaca serta jeriji dengan anggaran kerugian mencecah RM70,000.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, siasatan awal mendapati pemandu Honda City berusia 26 tahun dalam perjalanan dari Taman Koperasi Rembau untuk pulang ke rumahnya di Taman Seri Rembau Fasa 3.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pagar rumah dan melanggar beberapa buah kenderaan. Ujian saringan air kencing dilakukan terhadap pemandu dan didapati negatif,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post ‘Kami rugi RM70,000 kerana kereta terbabas’ appeared first on Kosmo Digital.
