
KUALA LUMPUR - Jentera Kerajaan Perpaduan sentiasa bersedia menambah baik hal ehwal Islam di negara ini agar lebih inklusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memberi manfaat kepada umat Islam agar rahmat dan kebaikan agama itu turut dirasai oleh masyarakat beragama lain.
Menurut beliau, seluruh jentera kerajaan khususnya agensi Islam beriltizam untuk memastikan tadbir urus hal ehwal Islam dilaksanakan sebaik-baiknya.
“Menjunjung kasih atas kesudian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mencemar duli mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor hari ini.
“Mesyuarat MKI jelas menzahirkan keprihatinan Tuanku terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin perkenan semua Raja-Raja Melayu membolehkan usaha memperkukuh institusi pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.
“Sekalung penghargaan juga kepada ahli MKI dan wakil negeri-negeri yang hadir dan turut serta mesyuarat ini,” katanya.
Sementara itu BERNAMA melaporkan, Sultan Sharafuddin menzahirkan harapan agar negeri yang masih belum menganggotai MKI dapat berbuat demikian secara rasmi pada kadar segera.
Titah baginda, majlis itu adalah institusi yang mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dari aspek penubuhan dan keahlian.
“Walaupun banyak kejayaan dicapai melalui rundingan menerusi MKI, terdapat pelbagai perkara memerlukan penglibatan semua ahli mesyuarat untuk idea dan buah fikiran yang bernas,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin bertitah, masih ada pihak membincangkan secara terbuka beberapa isu sensitif sedangkan ia seharusnya dilakukan menerusi forum MKI.
Titah baginda, isu seperti pertikaian rukyah dalam menetapkan tarikh permulaan Ramadan serta penentuan anak bulan Syawal seharusnya dibincangkan menerusi kaedah yang lebih teratur.
“Beta amat dukacita dengan perkembangan ini kerana mereka menimbulkan keraguan terhadap kearifan para mufti yang memahami ilmu falak.
“Ini sudah tentu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam yang akhirnya boleh mengundang perpecahan,” titah baginda. - Getaran, 28 Ogos 2023

