Kami Sokong Sebab Anwar Letak Kepentingan Negara Melebihi Agenda Peribadi - MUDA

Politics
9 Nov 2022 • 7:08 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar oleh Syeda Imran

KUALA LUMPUR - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyokong dan mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tiada calon Perdana Menteri lain, seperti beliau yang meletakkan kepentingan institusi negara lebih tinggi, berbanding diri sendiri.

image is not available
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Gambar oleh Syeda Imran

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, impian untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang ditadbir dengan maruah dan integriti adalah apabila seseorang pemimpin tertinggi negara itu sendiri, meletakkan pembangunan institusi demokrasi serta rakyat di tahap lebih atas daripada kedudukan peribadinya.

“Itu Anwar,” katanya menerusi klip ceramah.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dinamakan sebagai calon Perdana Menteri gabungan berkenaan, sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

image is not available
Anwar Ibrahim bergambar bersama penyokongnya pada program Pentas Interaksi Anak MUDA, semalam.

Selain PH, gabungan lain yang menampilkan calon Perdana Menteri masing-masing, termasuk Barisan Nasional yang mengetengahkan Datuk Seri Ismail Sabri; Perikatan Nasional (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Gerakan Tanah Air (Tun Dr Mahathir Mohamad).

Syed Saddiq turut membayangkan situasi demokrasi 10 hingga 20 tahun akan datang di negara ini akan menyaksikan perubahan pemimpin dan parti politik pada bila-bila masa.

“Idaman Malaysia saya adalah walaupun saya berada dalam kerajaan pada hari ini, tetapi jika saya gagal untuk mentadbir dengan baik pada pilihan raya akan datang, ‘Nyahlah kau Syed Saddiq’ kerana itulah kuasa rakyat yang sebenar,” katanya.

Menurut Syed Saddiq, sebuah negara demokratik diterjemahkan apabila rakyatnya yang mengawal, namun ia hanya boleh berlaku apabila institusi demokrasi dan rakyat diberi keutamaan.

“Tidak ada lagi Perdana Menteri yang menguasai segala-galanya. Pulangkan kuasa kepada Parlimen. Tidak ada situasi di mana Kabinet menentukan segala-galanya.

“Pulangkan kepada Parlimen kerana di situlah institusi rakyat yang sebenar,” katanya. - Getaran, 9 November 2022