Kampung Lah Gamit Memori Di Kampung, Saji Masakan Asli Negeri Sembilan

Food
24 Mar 2024 • 2:14 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Siput sedut masak lemak cili api antara juadah disediakan di Kampung Lah

Masakan Negeri Sembilan sememangnya kaya dengan keunikan rasa, apatah lagi jika dimasak cara tradisional yang mengekalkan keaslian dalam setiap sentuhan. 

Sekiranya anda merupakan peminat masakan kampung, peluang menikmati bufet Ramadan Kampung Lah di G2G by MTG Garden Hall, Seri Kembangan tidak harus dilepaskan.

image is not available

Berkonsepkan kembali ke kampung halaman, pengunjung bakal disajikan dengan hampir 100 jenis hidangan Melayu, menggunakan resepi turun-temurun Negeri Sembilan.

Selain kepelbagaian makanan yang disediakan, pengunjung juga dibawa menggamit memori, seolah berada di kampung halaman apabila berpeluang makan secara berhidang, diiringi dendangan lagu-lagu Melayu Asli sebagai halwa telinga. 

image is not available

Pemilik Kampung Lah, Fairuz Idwan berkata, keistimewaan Kampung Lah terletak pada masak salai lemak cili api yang disediakan secara tradisional, iaitu menggunakan tempurung kelapa untuk menyalai bahan utama diperlukan seperti daging dan ayam. 

“Selain daging yang disalai menggunakan tempurung kelapa, kami berbesar hati membawakan 100 juadah lain yang terdiri daripada ulam-ulaman dan kuih-muih tradisional ala kampung,” katanya.

Selain itu, Kampung Lah turut menyediakan hidangan kambing golek yang berbeza daripada lokasi berbuka lain.

Di sini, kambing disalai terlebih dahulu sebelum dipanggang bagi memastikan setiap kunyahan sarat dengan aroma dan kelazatan rasa yang tersendiri. 

image is not available

Jika tidak mahukan hidangan berat, pengunjung juga boleh memilih untuk mencuba Mi Sotong Haji Tamin yang amat terkenal di Johor.

Bufet Ramadan Kampung-Lah bermula pada 15 Mac lalu dan diteruskan sehingga 5 April nanti, dengan harga mampu milik iaitu RM98 (early bird) dan RM109 untuk harga normal.

Potongan 50 peratus pula akan diberikan kepada kanak-kanak dan warga emas, manakala diskaun istimewa disediakan untuk mana-mana organisasi yang membuat tempahan dalam kuantiti besar. - Getaran, 24 Mac 2024

Gambar : Kampung Lah