
Kota Kinabalu: Kg Likas Lama, yang merupakan kampung tertua di Likas, perlu segera diberi status sewajarnya, bagi memastikan penduduk beberapa generasi di kampung itu dapat meneruskan kehidupan tanpa bimbang rumah mereka mungkin dirobohkan oleh pihak berkuasa.
Membuat gesaan itu, Adun Darau Azhar Matussin (gambar) berkata Kg Likas Lama yang telah didiami lebih 100 tahun sejak 1920-an, diwartakan sebagai rizab kumbahan.
Beliau berkata Kg Likas Lama adalah kampung asal Kg Likas yang dikenali sebagai ‘Ta’dia’ bermaksud ‘Bawah’ dalam bahasa Bajau Sama.
“Kampung itu terletak kira-kira 50 meter dari Masjid Jamek Kg Likas dan ironinya walaupun belum diwartakan sebagai kampung, kemudahan seperti bekalan air dan elektrik telah disediakan kepada penduduk kampung secara sah sejak sekian lama.
SPONSORED CONTENT Shell awards Sabah LiveWIRE winners Kota Kinabalu: Shell has awarded five enterprises as the state winners of Shell LiveWIRE Malaysia 2024, following the Sabah state finals held at Plaza Shell in Kota Kinabalu. . Read more “Tetapi apa yang membimbangkan saya ialah Kg Likas Lama mungkin tersenarai sebagai salah satu daripada 285 koloni setinggan di Sabah, yang baru-baru ini dikenal pasti oleh kerajaan melalui Jawatankuasa Induk Menangani Setinggan.
“Sebab itu saya mohon kerajaan negeri mengambil tindakan segera memberikan status sewajarnya supaya rumah yang banyak di kawasan kampung itu tidak termasuk dalam senarai koloni setinggan yang akan dirobohkan,” katanya.
Azhar berkata demikian ketika membahaskan pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, beliau telah meminta pembatalan warta rizab kumbahan melalui surat kepada Ketua Menteri pada 22 Jun 2020 dan juga kepada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, pada 23 Jun 2020 untuk tindakan sewajarnya.
Mengenai kejadian banjir pada 30 Jun baru-baru ini, beliau berkata ia kejadian terburuk dalam tempoh 30 tahun di Darau, menjejaskan 700 keluarga di beberapa kampung termasuk Kg Rampayan Laut, Kg Tobur Rampayan, Kg Seradan dan Kg Dambai.
Katanya, banjir itu bukan banjir yang biasa dilalui penduduk kampung sebelum ini.
“Setiap kali hujan lebat, banjir selalu berlaku di kawasan saya, Darau.
“Tetapi banjir baru-baru ini sangat luar biasa kerana menjejaskan 700 ketua isi rumah (KIR) yang mengalami kerugian dari segi kerosakan harta benda, kehilangan barang peribadi dan perbelanjaan pembersihan selepas air banjir surut.
“Atas sebab itu, saya ingin mengingatkan Kerajaan Negeri supaya mengambil tindakan luar biasa bagi menyelesaikan masalah tersebut. Jika Kerajaan masih mengambil sikap acuh tak acuh, maka hasilnya tetap sama,” katanya.
Azhar berkata kerajaan perlu mengambil tindakan drastik bagi menangani segera masalah yang timbul daripada sistem perparitan di kampung terbabit.
Kedua, katanya, pembinaan jambatan lebih besar di Jalan Sulaman, Kg Rampayan perlu dilaksanakan segera dan ketiga, beliau mencadangkan Sungai Rampayan dilebarkan dan didalamkan selepas jambatan Kg Rampayan.
“Jika ketiga-tiga langkah cadangan ini tidak dilaksanakan segera, tebatan banjir Sungai Rampayan yang kini dalam pembinaan tidak akan mencapai objektif sebenar,” katanya.
Azhar menggesa kerajaan memasukkan 700 KIR mangsa banjir di Darau dalam senarai bantuan kewangan RM1,000 yang diumumkan kerajaan negeri untuk mangsa banjir Penampang pada 1 Julai lalu.
Dalam perkembangan lain, beliau mengulangi gesaan agar kerajaan menjalankan kerja-kerja pengorekan untuk mendalamkan kawasan cetek muara Sungai Likas bermula dari kawasan hadapan Jabatan Perikanan di Kg Likas sehingga ke kawasan berhampiran helipad di bangunan Menara Kinabalu.
Beliau berkata ia amat penting bagi memudahkan lebih 100 nelayan sepenuh masa dari Kg Bangka-Bangka, Kg Likas, Kg Rampayan, Kg Kalansanan dan Kg Darau untuk keluar menangkap ikan dengan melalui muara tersebut.
“Sejak beberapa tahun lalu, muara Sungai Likas menjadi cetek sehingga paras tiga kaki sehingga menyukarkan bot nelayan melaluinya.
“Nelayan mendapati, antara punca sungai menjadi cetek adalah dasar sungai dipenuhi sisa plastik, bahan buangan dan lumpur lebih tebal.
“Ketika air surut, nelayan tidak dapat pulang ke rumah kerana laluan cetek dan terpaksa mengheret bot antara satu hingga dua kilometer untuk ke jeti, malah ada yang terpaksa tidur di dalam bot yang boleh mengancam keselamatan mereka,” kata Azhar.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
