
Tuaran: Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 disemarakkan dengan pertandingan Color Light Seluruh Pantai Dalit yang menarik penyertaan 24 kampung, di sini, baru-baru ini.
Daripada jumlah tersebut, 18 kampung melangkah ke peringkat Juara Antara Juara, sebelum Kampung Trayung dinobatkan sebagai juara tahun ini.
Matuin Dahan dari Kampung Trayung bersyukur tahun ini dia memenangi pertandingan itu, yang disertainya setiap tahun.
Mengulas persiapan untuk pertandingan itu, Matuin berkata mereka memerlukan lebih seminggu untuk menyiapkan reka bentuk lampu hiasan untuk pertandingan kali ini.
”Anggaran kos lebih kurang RM1,600,” tambah beliau.
Terdahulu, penganjur program, Rijahan Aliaprah berkata, “Acara ini telah menjadi tradisi selama 13 tahun di Pantai Dalit dan Tuaran.
“Ini adalah tahun keempat kita buat dengan jayanya, dan pada tahun ini agak meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya,” tambah Rijahan, yang juga Pegawai Khas kepada Ketua Menteri.
Pertandingan ini diadili oleh juri jemputan dari Labuan dan Kota Marudu yang memberikan penilaian profesional terhadap kreativiti serta keunikan persembahan dari setiap kampung.
Pertandingan ini bukan sahaja menghidupkan suasana Aidilfitri dengan cahaya dan warna yang memukau, tetapi juga memperkukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk.
