Kanada Larang Media Sosial Untuk Kanak-Kanak Bawah 16 Tahun

WorldTechnology
12 Jun 2026 • 11:39 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kanada kini mengikuti langkah negara lain dengan mengetatkan kawalan terhadap media sosial dan kecerdasan buatan (AI) demi melindungi kanak-kanak. Walaupun dianggap positif, keberkesanannya masih dipersoalkan kerana melibatkan isu hak kebebasan dalam talian serta tahap penguatkuasaan sebenar.

Image from: Kanada Larang Media Sosial Untuk Kanak-Kanak Bawah 16 Tahun

Melalui rang undang-undang keselamatan digital baharu, kanak-kanak bawah 16 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial. Namun, terdapat pengecualian bersyarat di mana syarikat boleh diberi kelonggaran sekiranya mereka dapat membuktikan bahawa platform yang ditawarkan mempunyai “perlindungan mencukupi” untuk menjaga keselamatan kanak-kanak. Dengan kata lain, syarikat teknologi diberi peluang menunjukkan komitmen terhadap keselamatan pengguna muda dengan menyediakan kawalan serta ciri perlindungan yang jelas sebelum dibenarkan beroperasi.

Image from: Kanada Larang Media Sosial Untuk Kanak-Kanak Bawah 16 Tahun

Bagi memastikan penguatkuasaan, Suruhanjaya Keselamatan Digital akan ditubuhkan. Syarikat yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan denda sehingga 3% daripada hasil global atau sebanyak CAD$10 juta (≈RM34.5 juta). Menteri Kebudayaan, Marc Miller menegaskan keselamatan kanak-kanak mesti menjadi keutamaan manakala Menteri Kesihatan, Marjorie Michel menekankan bahawa undang-undang ini akan membantu remaja memberi tumpuan di sekolah serta membina kemahiran dunia sebenar.

Image from: Kanada Larang Media Sosial Untuk Kanak-Kanak Bawah 16 Tahun

Selain itu, undang-undang ini turut menetapkan peraturan tambahan, termasuk mewajibkan platform media sosial dan laman kandungan dewasa mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan berbahaya. Kandungan yang dijana AI mesti dilabel dengan jelas, manakala chatbot AI pula perlu dikawal agar tidak menghasilkan maklumat berbahaya. Syarikat AI juga diwajibkan menyatakan secara jelas kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku keadaan kritikal seperti ancaman bunuh diri atau mencederakan orang lain.

Australia menjadi negara pertama yang mewajibkan platform seperti TikTok, YouTube dan Snapchat memadam akaun pengguna bawah 16 tahun, dengan penguatkuasaan bermula Disember 2025. Langkah ini kemudian diikuti oleh Indonesia pada Mac 2026. Di Eropah, beberapa kerajaan turut menimbang pendekatan serupa untuk melindungi golongan muda daripada risiko media sosial.

Malaysia sendiri telah menguatkuasakan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun menggunakan media sosial. Mereka tidak lagi dibenarkan mendaftar akaun baharu di platform seperti Facebook, TikTok, Instagram dan YouTube. Platform sosial diwajibkan melaksanakan proses pengesahan. Untuk akaun sedia ada, pengguna bawah 16 tahun diberi tempoh sebulan untuk memuat turun dan memindahkan data sebelum akaun disekat atau digantung

Sumber – AP News

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved