
MALANG tidak berbau, kanak-kanak berumur tiga tahun maut angkara kecuaian ibu bapa sendiri apabila ditinggalkan di dalam kereta pada suhu persekitaran 35 darjah Celsius.
Sindrom Terlupa Anak atau Forgotten Baby Syndrome terus berlaku. Baru-baru ini SinarPlus berkongsi pemergian si kecil empat tahun di Iran, kali ini di Miami, Florida, Amerika Syarikat.
Ibu bapa kanak-kanak berkenaan, Shaloum Tauber, 3, yang merupakan kakitangan sebuah pusat pendidikan di sana mendakwa terlupa keberadaaan anak kecil mereka di dalam kereta dan hanya menyedarinya pada jam 3.47 petang.

Ketika ditemui enam jam kemudian, si kecil itu tidak sedarkan diri. Dalam kejadian, bapanya, Mendel Tauber, 42, mengaku terlupa akan kehadiran mangsa di dalam kenderaan berkenaan.
Memetik Mirror UK, Detektif Diana Delgado-Gourgue berkata pihaknya menerima laporan seorang kanak-kanak tidak sedarkan diri di dalam kenderaan.
“Penyelamat Bomba Miami-Dade membawa mangsa ke hospital, di mana kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas,” jelasnya.
Miami Herald melaporkan pasangan berkenaan memandu ke pusat pendidikan berkenaan dengan membawa seramai empat atau lima anaknya dan memarkirkan kereta di luar pada jam 9.00 pagi.
Sejurus sampai, masing-masing bergegas ke kelas sehingga terlupa untuk memeriksa mangsa dibahagian belakang kenderaan.

Ia tidak disedari sehingga enam jam kemudian. Kira-kira jam 3.00 petang pihak sekolah memberitahu ketidakhadiran Shaloum. Bapanya terus berlari ke kereta dan mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri.
Menurut Miami Herald, Amerika Syarikat kini sedang dilanda suhu panas yang mana Selatan Florida mencatatkan suhu paling panas pada hari kejadian.
Tidak dapat membayangkan keadaan si kecil itu pada saat-saat akhirnya. Kanak-kanak mudah diserang strok haba apabila suhu dalam badan mereka mencapai tahap melebihi 40 darjah Celsius.
Ini kerana badan kanak-kanak memanas tiga hingga lima kali ganda lebih cepat berbanding orang dewasa.

Suhu dalaman badan kanak-kanak boleh mencapai tahap tidak selamat selepas kira-kira satu jam dalam kereta yang diletakkan bawah sinar matahari atau selepas kira-kira dua jam dalam kereta diletakkan di tempat teduh. Lebih menyedihkan anak kecil boleh meninggal dunia apabila suhunya mencapai 41 darjah Celsius.
Sindrom Terlupa Anak dikatakan berlaku akibat berlaku perubahan pada rutin harian ibu bapa. Namun yang menyedihkan nyawa bayi ataupun kanak-kanak terbabit menjadi pertaruhan.
Raising Children Australia mencadangkan tip rutin selamat bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
“Dengan rutin itu, anda akan terbiasa memeriksa si kecil di belakang kenderaan secara automatik tanpa bergantung pada ingatan jangka pendek,” katanya.
Berikut langkah-langkah perlu dilakukan;
1-Memeriksa tempat duduk belakang setiap kali meninggalkan kereta.
2-Buka pintu belakang kereta setiap kali parkir walaupun tiada sesiapa di belakang.
3-Letakkan beg, bekas bekal makanan atau botol air anak di tempat duduk hadapan di mana anda boleh melihatnya.
4-Tinggalkan sesuatu di tempat duduk belakang di sebelah anak. Pilih item yang anda perlukan selepas meninggalkan kereta seperti telefon, kad akses pejabat, dompet atau beg tangan.

5-Tampal pelekat peringatan pada tingkap kereta atau berhampiran pemegang pintu yang mana ia boleh dilihat apabila anda keluar dari kereta. Pelekat boleh tertera peringatan ‘lihat belakang kereta sebelum kunci’ atau ‘periksa tempat duduk belakang’.
Anda juga boleh meminta penjaga taska atau pengasuh menghubungi segera jika si kecil belum tiba di pusat asuhan dalam jangka masa tertentu.
Diharapkan ibu bapa untuk elak meninggalkan anak bersendirian dalam kenderaan walaupun seminit. Ibu bapa juga perlu bertanggungjawab dengan tidak membiarkan anak yang berusia di bawah enam tahun dalam kenderaan tanpa pengawasan.
Semoga kes yang terjadi ini menjadi pengajaran buat kita semua. Sekiranya anak terkunci dalam kenderaan, segera hubungi talian kecemasan 999 atau tukang kunci untuk bantuan, halang sinaran matahari dari terus masuk ke dalam kenderaan serta peka keadaan anak setiap masa.
Sumber: Mirror UK, Miami Herald, Raising Kids Australia
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.
The post Kanak-kanak 3 tahun maut, ibu bapa cuai tertinggal 6 jam dalam kereta suhu 35 darjah Celsius appeared first on Sinar Plus.

