Kanak-kanak, 6, disyaki lemas di Keningau

8 Mar 2025 • 3:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Marutin Ansiung

KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki berumur 6 tahun di Kampung Baginda, dekat sini, disyaki lemas di Sungai Pegalan kira-kira 11.30 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Keningau Superitendan Yampil Anak Garai berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki mengatakan cucu lelakinya berumur 6 tahun disyaki jatuh ke dalam sungai itu.

Katanya, mangsa merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Binaong.

“Menurut ibu mangsa, sebelum kejadian, mangsa dan abangnya bermain di bawah rumah selepas makan tengah hari. Tidak lama selepas itu, abang menyuruh mangsa naik ke atas rumah kerana dia hendak ke kedai runcit yang berhampiran.

“Ibunya melihat mangsa naik ke atas rumah lalu duduk bermain telefon bimbit di tangga. Tidak lama selepas itu, ibunya sedar mangsa tiada di situ.

“Sekitar 11.30 pagi, ibu mangsa memanggilnya dari atas rumah tetapi tiada jawapan. Lalu dia menyuruh abangnya pergi mencari mangsa, tetapi dia tidak ditemui,” katanya.

Yampil berkata rumah mangsa terletak kira-kira 25 meter dari sungai.

Menurutnya, pada pukul 12.40 tengah hari, bapa mangsa pulang dari kerja, dan si ibu memaklumkan apa yang berlaku. Si bapa kemudian memanggil penduduk berhampiran untuk membantu mencari kanak-kanak itu di sekitar kampung dan tebing sungai.

Katanya, bapa mangsa mengesyaki dia tergelincir dan jatuh ke dalam sungai kerana dalam pencarian tersebut, dia menjumpai kesan tapak kaki yang disyaki tempat mangsa tergelincir. Bapanya juga menjumpai sepasang selipar milik mangsa di tepi sungai kira-kira 60 meter dari tempat dia disyaki terjatuh.

“Menurut ibu bapanya, mangsa memakai baju lengan pendek warna merah dan berseluar panjang warna biru,” tambahnya.

Yampil berkata tiada saksi kejadian itu.

Mangsa belum dijumpai sehingga laporan ini ditulis.