Kanak-kanak dikhuatiri lemas di Pantai Tanjong Buloh

17 Feb 2026 • 6:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas dilakukan di Pantai Tanjong Buloh, Sedili Kecil Kota Tinggi. - Foto JBPM Johor

KOTA TINGGI – Kegembiraan cuti sekolah bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di Pantai Tanjong Buloh, Sedili Kecil, petang Selasa.

Komander Operasir dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Hashim Ismail berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 1.17 petang.

Jelasnya, seramai 16 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Terdapat tiga mangsa iaitu Arman Hanif berusia 11 tahun, Mohamad Soleh Hazriq Mokhtar berusia 16 tahun dan Putra Aniq Fairuz Mohd Faizul berusia 11 tahun.

“Arman Hanif terselamat manakala Mohamad Soleh telah dijumpai dan diserahkan kepada ambulan untuk rawatan lanjut.

“Namun Putra Aniq Fairuz masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tindakan operasi semasa mencari mangsa tersebut dilakukan menggunakan teknik 'surface searching' di kawasan mangsa dilaporkan lemas.

Katanya, operasi masih berjalan sehingga kini.