Kanak-kanak dipelawa sertai Sidang DUN Cilik, daftar sebelum 7 Julai

LocalFamily & Parenting
3 Jul 2026 • 12:24 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kanak-kanak dipelawa sertai Sidang DUN Cilik, daftar sebelum 7 Julai

SHAH ALAM, 3 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga mempelawa kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 13 tahun menyertai Sidang DUN Cilik Selangor 2026 yang dibuka pendaftarannya sehingga 7 Julai ini.

Danial Al-Rashid berkata, program itu diwujudkan bagi memberi peluang kepada generasi muda merasai pengalaman sebagai seorang wakil rakyat, sekali gus membentuk keyakinan diri serta memupuk minat terhadap kepimpinan sejak usia muda.

Menurutnya, kanak-kanak hari ini memiliki keberanian untuk bertanya, bersuara dan mengemukakan idea kreatif, namun mereka memerlukan platform yang sesuai untuk mengetengahkan pandangan tersebut.

“Siapa kata hanya orang dewasa boleh memberikan idea yang hebat? Hakikatnya, ramai kanak-kanak hari ini berani bertanya, berani bercakap dan mempunyai idea yang kreatif. Mereka cuma perlukan ruang untuk menyerlah.

“Sebab itu saya menjemput kanak-kanak berusia tujuh hingga 13 tahun, khususnya dari DUN Batu Tiga dan Shah Alam, untuk menyertai Sidang DUN Cilik Selangor 2026. Program ini bukan sekadar pertandingan pidato atau berucap di atas pentas, tetapi memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman sebagai Ahli Dewan Negeri,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, Selangor sebelum ini pernah melaksanakan inisiatif seperti Sidang ADN Muda dan Sidang Wanita Selangor (SIWANIS), manakala Sidang DUN Cilik pula memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan dalam kalangan kanak-kanak.

“Mereka akan belajar menyampaikan pandangan, berbahas, bekerjasama menyelesaikan masalah serta membentangkan idea demi kemajuan Selangor.

“Kemahiran seperti ini amat penting kerana kepimpinan bukan bermula apabila seseorang itu memasuki alam dewasa, sebaliknya apabila mereka berani bersuara dan bertanggungjawab terhadap idea yang dibawa sedari usia kecil lagi,” katanya.

Justeru, beliau menggalakkan ibu bapa yang mempunyai anak yang suka bertanya, memberi pendapat atau berani tampil di hadapan orang ramai agar tidak melepaskan peluang menyertai sidang tersebut.

Image from: Kanak-kanak dipelawa sertai Sidang DUN Cilik, daftar sebelum 7 Julai

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved