Kanak-kanak dipercayai mangsa dera ibu bapa diselamatkan JKM

26 Oct 2024 • 7:45 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PUTRAJAYA, 26 OKT: Kanak-kanak berusia empat tahun yang disyaki didera ibu bapanya, seperti tular di laman sosial media Khamis lalu diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, semalam.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan JKM Selangor menjalankan siasatan semalam dan kanak-kanak perempuan itu dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.

“Selesai pemeriksaan, JKM akan memberi perlindungan kepada kanak-kanak ini berdasarkan Seksyen 25 (2)(b), Akta Kanak-kanak 2001.

“KPWKM serius mengambil tindakan segera bagi kes yang berlaku dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Polis Diraja Malaysia juga sedang menjalankan siasatan berkenaan kes tersebut.

KPWKM menegaskan komitmennya untuk terus meningkatkan kesedaran awam melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

Kementerian juga memastikan tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah yang terlibat dalam kes penderaan dan salah laku terhadap kanak-kanak.

“KPWKM juga ingin menasihatkan orang ramai yang mengetahui tentang kes penderaan supaya menghubungi pihak polis atau Talian Kasih KPWKM di talian bebas tol 15999 atau pesanan whatsApp di nombor 019-2615999.

“Orang ramai juga boleh terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang terdekat bagi mendapatkan bantuan segera,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang pengguna yang meminta bantuan orang ramai menyelamatkan seorang kanak-kanak yang disyaki didera ibu bapanya.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved