
JASIN - Kegembiraan dua beradik mandi-manda di kolam renang sebuah inap desa (homestay) bertukar pilu apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas di Kampung Pulai, Merlimau di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian pada jam 10.56 pagi, mangsa yang merupakan kanak-kanak perempuan, Auni Falisha Muhammad Firdaus berusia dua tahun 10 bulan dipercayai pergi ke inap desa itu bersama abangnya berusia lima tahun.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata, hasil siasatan mendapati mangsa bersama abangnya berjalan kaki ke kolam renang yang terletak lebih kurang 500 meter dari jarak rumah mereka tanpa pengetahuan ibu bapa dan ahli keluarga.
Menurutnya, kolam renang itu dipercayai milik ahli keluarga mangsa dan semasa kejadian tiada pelanggan mengunjungi atau berada di situ.
Katanya, abang mangsa pulang ke rumah dengan keadaan pakaian basah dan bila ditanya tentang adiknya dikatakan berada di kolam renang seorang diri.
"Ibu bapa mangsa menghubungi rakan sekerjanya dan meminta ke kolam renang untuk melihat keadaan mangsa.
"Individu itu melihat mangsa dalam keadaan tertiarap dalam kolam renang dan tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.
Tambah beliau, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Merlimau dan telah diberi bantuan pernafasan (CPR) selama 45 minit namun tidak dapat diselamatkan.
Ujar beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
"Pemeriksaan secara fizikal ke atas mayat mangsa mendapati tiada sebarang kesan perbuatan jenayah," katanya.
