
BUTTERWORTH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama beberapa rakannya di Pantai Bersih, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth menerima maklumat kejadian membabitkan Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah pada 5.45 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, pihak bomba dimaklumkan kanak-kanak itu (Muhammad Mikhaeil Muqmin) mandi bersama beberapa rakannya sebelum dihanyutkan ombak. Ada seorang pemancing cuba menyelamatkannya namun gagal kerana arus deras,“ kata jurucakap itu yang dihubungi hari ini.
Menurut jurucakap itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Mikhaeil Muqmin dilakukan dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM namun operasi terpaksa dihentikan pada 7.30 malam berikutan cuaca dan keadaan gelap di kawasan tersebut.
Beliau berkata SAR yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela dan nelayan di kawasan itu akan disambung pagi esok. — Bernama
