Kanak-Kanak Lelaki Maut Selepas Kereta Masuk Gaung

30 Aug 2022 • 9:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kanak-kanak itu tersepit di tempat duduk belakang sebuah kereta Perodua Kancil - Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor

SEGAMAT - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut apabila kereta yang dinaikinya bersama empat yang lain terbabas sebelum masuk ke dalam gaung di Jalan Buloh Kasap-Jalan Kuala Paya, dekat sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat Penolong Penguasa Muhammad Hazim Abd Razak berkata sebuah jentera bomba dengan enam anggota bergegas ke lokasi sejurus selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.06 petang.

Beliau berkata sebaik tiba bomba mendapati kereta Perodua Kancil itu berada di dalam gaung sedalam kira-kira 6 meter, dan ada seorang kanak-kanak cedera yang tersepit di tempat duduk belakang, manakala empat lagi mangsa terselamat, telah keluar dari kereta itu dengan sendiri.

“Rizz Haikal Ereyentoo yang tersepit dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas, namun dia disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Buloh Kasap,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhammad Hazim berkata mayat kanak-kanak itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala empat yang lain iaitu seorang wanita berusia 39 tahun dan tiga lagi kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, tidak cedera. 

Operasi ditamatkan pukul 5.29 petang. - Bernama