Kanak-kanak lelaki maut terkena renjatan elektrik di sekolah

19 Dec 2024 • 10:11 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SERDANG, 19 DIS: Murid lelaki Tahun Enam maut dipercayai akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya jam 6.30 petang.

“Pengadu iaitu wanita tempatan berumur 36 tahun membuat laporan polis berkaitan pihaknya menerima pesakit iaitu kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di kawasan Serdang sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.50 petang,” katanya menerusi kenyataan hari ni, lapor Sinar Harian.

image is not available
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan bercakap kepada media selepas meninjau lokasi tanah runtuh di Taman Wawasan, Subang Jaya pada 19 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Katanya, siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan.

“Polis masih menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi serta mengeluarkan komen yang boleh mengganggu siasatan.