Kanak-kanak lima tahun maut, 4 lagi parah

1 Apr 2023 • 10:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut, manakala empat lagi ahli keluarga cedera parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di kilometer 49, Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu, Pasir Puteh pada Sabtu.

PASIR PUTEH - Seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut, manakala empat lagi ahli keluarga cedera parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di kilometer 49, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, kanak-kanak tersebut maut di lokasi dipercayai mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian lori yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun bersama kelindan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu.

"Setiba di lokasi kejadian kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu dipercayai telah memasuki laluan lori terbabit.

"Pelanggaran itu menyebabkan kanak-kanak berkenaan maut, manakala yang lain cedera parah," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 010-4505507.