Kanak-kanak maut, dua kereta bertembung

24 Mar 2025 • 1:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kemalangan di Kampung Lepan Anjung, Kuala Krai pada Ahad mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki maut. FOTO: IHSAN PDRM

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 1 tahun 9 bulan maut selepas kereta dinaikinya bersama keluarga bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kampung Lepan Anjung, Kuala Krai, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.51 petang ketika keluarga mangsa dalam perjalanan dari Lepan Anjung ke Jelawang.

“Mangsa, Muhammad Naufal Mohd Zulfikri, menaiki kereta Proton Waja yang dipandu bapanya, 31 tahun, bersama ibu berusia 30 tahun dan kakaknya, empat tahun,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan keluarga itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain tetapi tidak sempat lalu bertembung dengan sebuah Honda dari arah bertentangan.

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Dabong,” katanya.

Sementara itu, kereta Honda dinaiki empat sekeluarga, iaitu pasangan suami isteri berusia 34 dan 32 tahun serta dua anak mereka, masing-masing berusia empat tahun dan tiga bulan.

“Pemandu serta penumpang hadapan Honda mengalami patah kaki, manakala dua anak mereka cedera ringan,” katanya.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke unit forensik hospital sama untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved