SHAH ALAM, 8 APRIL: Perhatian khas diberikan kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights.
Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) berkata bagi memastikan keselesaan anak istimewa serta penjaga sepanjang di PPS, pelbagai kemudahan disediakan antaranya pembelian alatan permainan dan intervensi bersesuaian.
Maklum Danial Al-Rashid Haron, pihaknya turut membawa juruterapi cara kerja dan audio minggu lalu bagi menilai keadaan kanak-kanak berkenaan kerana ada antara mereka yang mengalami trauma.
“Setakat ini, kita kenal pasti ada tiga kanak-kanak. Salah satunya berusia 12 tahun dan mengalami trauma akibat kebakaran. Dia boleh bertutur jadi memang dia cerita mengenai api dan panas.
“Dimaklumkan kanak-kanak ini suka main lego dan krayon. Jadi kita terus beli barangan itu sebagai alat intervensi untuk alihkan perhatiannya dari trauma dialami,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga kepada Media Selangor.

Katanya, MTOS dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan dan Anak Istimewa Selangor (ANIS) menyantuni keperluan golongan OKU terkesan insiden berkenaan.
“Mengikut rekod JKM ada 14 OKU terkesan terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa. Saya temui di PPS setakat ini ada tiga. Jadi jika mereka yang lain memerlukan bantuan berkaitan boleh berhubung terus dengan kita.
“Yang paling utama kita cuba penuhi dan mencukupkan keperluan asas mereka sebelum kejadian itu. Contohnya jika dia memerlukan peralatan seperti kerusi roda dan terjejas dalam kejadian itu, kita sedia bantu,” katanya.
Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan 235 mangsa insiden itu mendapatkan khidmat kaunseling di Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).
Perkhidmatan PSSS Mobile dikendalikan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang beroperasi 24 jam di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dengan khidmat kira-kira 10 kaunselor.
Antara kes dikendalikan termasuk berkaitan tekanan, kebimbangan, kemurungan, kewangan m, kos sara hidup dan keperluan asas, hilang pekerjaan serta trauma.


The post Kanak-kanak OKU di PPS diberi perhatian khas, khidmat juruterapi appeared first on Selangorkini.

