
Kota Kinabalu: Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk Flovia Ng berkata usaha melatih kanak-kanak perlu dimulakan seawal usia agar lebih mudah dibentuk.
“Menyedari hakikat ini, kanak-kanak perlu didedahkan dengan pelbagai aktiviti khususnya dalam tabika perpaduan bagi mempercepatkan lagi perkembangan kanak-kanak.
“Kepada semua ibu bapa, tanggungjawab untuk pembangunan anak-anak adalah tanggungjawab kita bersama. Ibu bapa adalah cerminan sebenar anak-anak.
“Banyak perkara yang ibu bapa lakukan akan menjadi ikutan anak-anak. Dorongan ibu bapa amat penting bagi membolehkan anak-anak sentiasa bersemangat untuk ke tadika dan seterusnya berjaya pada masa hadapan,” katanya.
SPONSORED CONTENT Shell Sabah Deepwater Production Manager Earns Unsung Hero Award Kota Kinabalu: Sabah Deepwater Production Manager at Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSPC), Musti Juin from Kuala Penyu was recently awarded the 2024 PETRONAS Malaysia Upstream Unsung Hero Award in recognition for his strategic leadership and exceptional Health, Safety, Security and Environment (HSSE) performance. Read more Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa aktif dalam aktiviti tadika memandangkan penglibatan mereka dalam jawatankuasa penyelaras tadika amat diperlukan bagi mewujudkan hubungan yang erat antara tadika dan ibu bapa.
“Aktiviti seperti mesyuarat, gotong royong, aktiviti melawat dan sebagainya merupakan program yang memerlukan penglibatan ibu bapa. Sekurang-kurangnya, ibu bapa juga boleh membantu memantau perkembangan anak-anak.
“Kerjasama erat antara ibu bapa dan institusi tadika boleh menjamin masa depan yang baik untuk kanak-kanak,” katanya.
Flovia yang juga Adun Tulid berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kreatif Pintar Tabika Perpaduan Daerah Kota Kinabalu bagi tahun 2024 yang diadakan di sini baru-baru ini.
Seramai 120 pelajar tadika terlibat dalam program tersebut yang turut melibatkan guru, ibu bapa dan pegawai JPNIN.
“Sememangnya penganjuran program seperti ini sangat tepat pada masanya apatah lagi kebanyakan kanak-kanak ini bakal melangkah ke alam persekolahan rendah pada tahun hadapan.
“Justeru, pembelajaran dan pengalaman yang diterima pada hari ini amat penting sebagai bekalan dan panduan kepada mereka agar mereka lebih bersedia menghadapi keadaan dan situasi baharu di sekolah rendah nanti,” katanya.
Menurutnya, Program Kreatif Bestari merupakan salah satu program yang diilhamkan daripada rancangan pendidikan awal kanak-kanak.
Program itu, katanya, bertujuan mencungkil bakat dan potensi anak Tabika Perpaduan melalui pelaksanaan aktiviti.
“Beberapa aktiviti boleh dilaksanakan seperti tarian, nyanyian, ciptaan, wayang kulit, syair dan sajak, lagu aksi, taridra dan pelbagai lagi yang sesuai untuk perkembangan kanak-kanak.
“Program ini memastikan perkembangan holistik kanak-kanak dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, aktiviti, disiplin dan inovasi.
“Apa yang pasti program yang dirancang ini mestilah berteraskan unsur perpaduan, kenegaraan dan nilai murni,” katanya.
Menurutnya, pada 24 Julai 2021, Kementerian Perpaduan Negara melancarkan rancangan pendidikan awal kanak-kanak tabika perpaduan 2021 - 2030 yang bertujuan memperkukuh dan memantapkan peranan tabika perpaduan.
Ini, katanya, bagi memperkasakan tadika perpaduan sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak dalam mengembangkan potensi dan melahirkan kanak-kanak yang berjiwa patriotisme serta mengamalkan nilai-nilai murni.
Tambahnya, pelbagai pendekatan dan program telah dilaksanakan dalam usaha meningkatkan kualiti Tabika Perpaduan secara inklusif.
Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur kerana memberi peluang kepadanya untuk hadir dan seterusnya menyempurnakan majlis ini.
“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua warga pendidik Tabika Perpaduan Daerah Kota Kinabalu. Tanggungjawab menjaga anak bukanlah sesuatu yang mudah.
“Proses ini memerlukan ketabahan dan kesabaran. Terdapat terlalu ramai kanak-kanak yang berbeza dan ia tidak mudah untuk dikendalikan. Kesabaran sangat penting. Pengalaman bekerja dan kematangan dalam berinteraksi dengan anak-anak adalah satu keperluan.
“Justeru, guru perlu terus diperkasakan supaya dalam apa jua keadaan mereka sentiasa boleh menjadi pendidik yang paling berkesan untuk kanak-kanak. Terima kasih atas jasa dan dedikasi anda kepada semua kanak-kanak,” jelasnya.
