SHAH ALAM - Mangsa tidak menyedari diri sedang dimanipulasi menjadi antara cabaran terbesar untuk mendakwa individu yang terlibat dalam kes pengantunan, eksploitasi seksual dan pornografi kanak-kanak secara dalam talian.
Peguam, Ng Xin Ru berkata, keadaan itu menyebabkan jenayah tersebut sukar dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil kepada pelaku memandangkan faktor usia mangsa yang belum matang memahami situasi sebenar.
Menurutnya, kebanyakan pelaku yang mempunyai kecenderungan pedofilia menggunakan pendekatan manipulasi secara berperingkat sehingga mangsa terpengaruh untuk berkongsi gambar atau video lucah.
"Kanak-kanak dalam situasi itu tidak dapat menilai atau mengetahui niat pelaku tersebut kerana pemikiran mereka masih naif.
"Kes grooming kanak-kanak sehingga ke tahap perkongsian gambar serta video lucah berlaku secara berperingkat dan bukanlah secara mengejut.
"Sering kali kes grooming atau kelakuan pedofilia dibongkarkan selepas diketahui oleh ibu bapa atau penjaga," katanya.
Ditanya sejauh mana kekuatan bukti digital seperti perbualan, gambar atau video digunakan dalam pendakwaan, Xin Ru berkata, bahan tersebut amat penting bagi menunjukkan perbuatan jenayah dalam talian.
Menurutnya, mahkamah boleh menilai tingkah laku serta niat seseorang pedofilia melalui mesej dihantar kepada mangsa.
"Melalui mesej-mesej tersebut, mahkamah juga dapat menilai bagaimana seseorang pelaku mempengaruhi minda seorang kanak-kanak," ujarnya.
Xin Ru dalam masa sama tidak menolak kemungkinan pelaku berisiko mengulangi jenayah selepas dibebaskan.
Justeru ujar beliau, pesalah perlu diwajibkan menjalani rawatan psikiatri dan dikawal dengan ubat-ubatan serta diselia rapat oleh pihak berkuasa untuk tempoh panjang.
"Di sesetengah negara, pesalah seksual kanak-kanak dikenakan sekatan seperti tidak boleh mendiami kawasan berdekatan sekolah," katanya.
