Kanser hati boleh berkembang tanpa gejala

Health & Fitness
22 Oct 2026 • 11:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kanser hati boleh berkembang tanpa gejala

KANSER hati sering dikaitkan dengan pengambilan alkohol secara berlebihan, namun hakikatnya penyakit itu turut mengancam individu tidak pernah mengambil minuman beralkohol.

Lebih membimbangkan, kanser hati boleh berkembang tanpa gejala ketara pada peringkat awal, sekali gus menyebabkan seseorang hanya menyedari keadaan mereka apabila penyakit sudah berada pada tahap lebih serius.

Di Malaysia dan negara-negara Asia lain, jangkitan hepatitis B kronik merupakan antara faktor risiko utama kanser hati.

Menurut penyelidik dalam Program Penyelidikan Advanced Management of Liver Malignancies (Liver-ENRICH) di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Nor Hazwani Ahmad, virus berkenaan boleh berada dalam tubuh selama bertahun-tahun tanpa menunjukkan tanda jelas hingga menyebabkan ramai individu tidak menyedari mereka dijangkiti.

“Jangkitan hepatitis B juga boleh berlaku sejak kecil, termasuk melalui penularan daripada ibu kepada bayi.

“Apabila jangkitan berterusan, keradangan kronik boleh merosakkan sel hati dan menyebabkan pembentukan tisu parut atau sirosis.

“Keadaan tersebut seterusnya meningkatkan risiko seseorang menghidap kanser hati,” katanya kepada K-Variasi baru-baru ini.

Tambahnya, situasi itu menjadikan kanser hati sebagai antara penyakit yang sukar dikesan pada peringkat awal.

Seseorang mungkin kelihatan sihat, aktif dan mampu menjalani rutin harian seperti biasa, sedangkan kerosakan hati boleh berlaku secara beransur-ansur tanpa disedari.

Penyakit mungkin sudah berkembang ke tahap lebih serius apabila gejala mula muncul seperti sakit atau ketidakselesaan pada bahagian perut, hilang selera makan, penurunan berat badan tanpa sebab jelas serta kulit dan mata menjadi kekuningan,

Kongsi Dr. Nor Hazwani, dalam keadaan sedemikian, pilihan rawatan berpotensi menjadi lebih terhad bergantung pada tahap penyakit dan keadaan kesihatan pesakit.

“Justeru, individu yang mempunyai faktor risiko tidak seharusnya menunggu sehingga mengalami gejala untuk mendapatkan pemeriksaan.

“Pengesanan awal melalui penilaian doktor dan pemantauan yang bersesuaian boleh membantu mengenal pasti masalah hati sebelum komplikasi menjadi lebih serius,” ujarnya.

Katanya lagi, selain hepatitis B, jangkitan hepatitis C kronik juga boleh menyebabkan kerosakan hati dan meningkatkan risiko kanser.

Penyakit hati berlemak yang berkaitan dengan obesiti, diabetes serta gangguan metabolik turut perlu diberikan perhatian kerana keadaan tersebut boleh mencetuskan keradangan serta kerosakan hati dalam jangka panjang.

Pengambilan alkohol secara berlebihan dan berpanjangan juga merupakan faktor risiko yang diketahui, namun ia bukan satu-satunya punca kanser hati.

Image from: Kanser hati boleh berkembang tanpa gejala
KANSER hati sering dikaitkan dengan pengambilan alkohol secara berlebihan. – Gambar hiasan

Dr. Nor Hazwani turut menambah, dari sudut pencegahan, vaksin hepatitis B memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko jangkitan.

Individu yang tidak pasti mengenai status hepatitis atau perlindungan vaksin mereka boleh mendapatkan nasihat doktor mengenai keperluan menjalani ujian darah dan vaksinasi.

“Bagi mereka yang disahkan menghidap hepatitis B atau C kronik, pemantauan berkala serta rawatan antivirus yang bersesuaian amat penting untuk mengawal jangkitan dan mengurangkan risiko komplikasi.

“Individu yang mempunyai penyakit hati kronik juga mungkin memerlukan pemantauan khusus bagi mengesan kanser lebih awal, mengikut penilaian doktor,” jelasnya.

Sarannya lagi, dalam masa sama, penjagaan kesihatan hati perlu bermula melalui amalan harian seperti mengekalkan berat badan sihat, mengambil makanan seimbang, melakukan aktiviti fizikal secara berkala serta mengawal diabetes dan masalah metabolik.

Salah faham mengenai punca kanser hati juga perlu diperbetulkan bagi mengelakkan stigma terhadap pesakit.

Sebahagian individu mungkin mendapat jangkitan hepatitis sejak kecil atau melalui penularan daripada ibu, bukannya disebabkan pilihan gaya hidup mereka sendiri.

Sikap menyalahkan pesakit boleh menyebabkan mereka berasa malu atau takut untuk menjalani pemeriksaan.

Dr. Nor Hazwani menekankan, kesihatan hati tidak seharusnya hanya diberikan perhatian apabila tubuh mula menunjukkan tanda amaran.

Mengetahui faktor risiko, mendapatkan nasihat doktor dan menjalani saringan apabila disarankan merupakan langkah penting dalam melindungi organ berkenaan.

“Kanser hati mungkin menyerang dalam diam, tetapi kesedaran dan tindakan awal mampu membuka peluang untuk pengesanan serta rawatan yang lebih tepat pada masanya.

“Jangan tunggu sehingga kesakitan muncul untuk mengambil berat tentang kesihatan hati,” katanya.

The post Kanser hati boleh berkembang tanpa gejala appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved