
KLUANG – Sepasang suami isteri berharap anak bongsunya kembali melihat seperti kanak-kanak lain selepas menjalani pembedahan akibat kanser sejak bayi yang dijadual dilakukan di Hospital Kanser Tengku Azizah, Kuala Lumpur.
Noraini A. Wahab, 31, berkata, dia dan suami, Muhammad Syukri Abdul Samad, 35, hanya mampu berdoa agar anak mereka, Mohamad Danish Fayyadh, setahun lima bulan selamat menjalani rawatan.
Katanya, anaknya diserang penyakit itu ketika berusia sekitar tiga hingga empat bulan selepas dilahirkan dan kini telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak sembilan kali di hospital tersebut.
“Dia juga perlu menjalani rawatan selama kira-kira enam bulan di Kuala Lumpur sebelum doktor dapat menentukan dan melakukan pembedahan terhadap mata yang terjejas.
“Sejak seminggu lalu, kami terpaksa berulang-alik dan menetap di Kuala Lumpur bagi memastikan Danish mendapat rawatan mengikut jadual ditetapkan,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Noraini, suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori dan terpaksa mengambil cuti panjang untuk memberi perhatian kepada Danish termasuk menguruskan perjalanan dan rawatan selama kira-kira enam bulan.
Tambahnya, keadaan itu turut menyebabkan dua lagi anak mereka yang berusia lima dan tujuh tahun terpaksa ditinggalkan sementara bersama abangnya di Kluang.
“Keputusan itu bukan mudah kerana sebagai ibu, saya berat untuk meninggalkan mereka, namun rawatan Danish memerlukan perhatian sepenuhnya,” katanya.
Ujar Noraini, ketika ini mereka menggunakan wang yang ada untuk menampung kos perjalanan pergi dan balik dari Kluang ke Kuala Lumpur selain keperluan sepanjang berada di sana.
“Hospital belum memaklumkan kos pembedahan. Sebelum ke Kuala Lumpur, kami ada menerima bantuan daripada orang ramai di Kluang yang bersimpati dengan keadaan Danish yang sedikit sebanyak melegakan kami ketika ini,” katanya.
Menurut Noraini, biarpun berdepan kekangan kewangan dan terpaksa berjauhan dengan dua anak yang lain, dia dan suami tetap cuba kuat demi memastikan Danish mendapat rawatan terbaik.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi Muhamad Syukri di talian 014-913 3958.
The post Kanser itu benar-benar menguji appeared first on Kosmo Online.



