
Kanser kepala dan leher antara isu kesihatan awam yang semakin membimbangkan di peringkat global mahupun nasional. Berdasarkan data GLOBOCAN 2025, dianggarkan sebanyak 900,000 kes baharu direkodkan setiap tahun di seluruh dunia dengan 424,000 kematian.
Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2007, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), daripada lima jenis kanser paling kerap berlaku, kanser kepala dan leher menduduki tempat kedua iaitu 13.2 peratus selepas kanser payudara dengan 18.1 peratus manakala kanser kolorektal di tangga ketiga, 12.3 peratus diikuti kanser trakea, bronkus dan paru-paru 10.2 peratus dan kanser serviks pula mencatatkan 4.6 peratus daripada keseluruhan kanser.
Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, Datuk Dr. Azmi Baharudin berkata, di Malaysia, kanser nasofaring (pangkal hidung) adalah kanser keempat paling lazim dialami dalam kalangan lelaki.
“Lebih membimbangkan, majoriti pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah berada pada tahap lanjut, sekali gus menjadikan rawatan lebih kompleks dan peluang pemulihan lebih rendah. Pengesanan awal adalah kunci kepada rawatan lebih berkesan dan kadar kelangsungan hidup yang lebih baik.
“Mengenal pasti tanda-tanda amaran halus ini dari awal secara ketara meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan dapat mengurangkan keperluan untuk rawatan agresif dan keras yang menyebabkan kesan sampingan yang berpanjangan,” katanya pada program sempena Hari Kanser kepala dan Leher Sedunia, HCTM, baru-baru ini.
Turut hadir, Pakar Bedah Kepala dan Leher HCTM UKM, Prof. Dr. Mohd. Razif Mohamad Yunus, Pakar Otorinolaringologi Surgeri Kepala dan Leher, HCTM UKM, Dr. Lum Sai Guan dan Pakar Otorinolaringologi Surgeri Kepala dan Leher, HCTM UKM, Dr. Khairil Afif Mahmud.

Dr. Mohd. Razif berkata, kanser kepala dan leher merangkumi kumpulan tumor malignan yang tumbuh di dalam atau di sekitar rongga mulut, sinus, hidung, tekak (farinks) dan peti suara (laring).
“Antara kanser kepala dan leher yang kerap ditemui adalah karsinoma nasofarinks (NPC), kanser laring atau peti suara dan kanser sino-nasal bermula di ruang kosong yang tersembunyi pada tulang muka (sinus) atau rongga hidung.
“Karsinoma nasofarinks (NPC) sangat relevan dengan komuniti kita. Ia adalah kanser kepala dan leher yang paling biasa di Malaysia dan kanser keempat paling biasa secara keseluruhan di negara ini. Ia berasal dari bahagian atas tekak, betul-betul di belakang hidung,” katanya.
Apa yang menjadikan NPC sangat berbahaya adalah sifatnya yang halus. Oleh kerana tumor membesar di kawasan tersembunyi di belakang rongga hidung, simptom awal adalah sangat samar dan mudah disalah anggap sebagai penyakit harian biasa.
Antara tanda yang perlu dipandang serius adalah benjolan yang tidak menyakitkan di leher yang biasanya petanda pertama yang berlaku.
Petanda lain, telinga tersumbat berterusan seperti air terperangkap selepas berenang, telinga berdesing atau hingus bercampur darah dari hidung. Semua petanda ini sering diabaikan sehingga kanser hanya dikesan apabila sudah mencapai tahap lanjut dan sukar dirawat atau disembuhkan.
Suara serak petanda kanser peti suara
Kanser laring atau peti suara menyerang bahagian teras tekak, secara langsung mengancam suara pesakit, kebolehan mereka untuk menelan makanan dengan selamat dan akhirnya, menyekat pernafasan mereka.
Dr. Lum Sai Guan berkata, salah satu simptom terawal adalah suara serak berpanjangan atau perubahan dalam kualiti suara yang berlarutan lebih dari tiga minggu. Tragisnya, ini sering diabaikan sebagai selesema berlarutan, refluks asid atau sekadar penuaan.
“Merokok kekal sebagai faktor risiko tunggal paling ketara. Apabila digabungkan dengan pengambilan alkohol yang banyak, risikonya berganda. Jika dikesan awal, peti suara selalunya boleh diselamatkan dengan radiasi sasaran atau pembedahan laser. Ia menyelamatkan pesakit daripada rintangan fizikal dan emosi yang besar akibat pembedahan membuang peti suara (laringektomi),” katanya.
Kanser Sino-nasal
Kanser sino-nasal bermula di ruang kosong yang tersembunyi pada tulang muka (sinus) atau rongga hidung. Oleh kerana ia membesar di ruang sempit yang sangat hampir dengan struktur kritikal, diagnosis lewat bermakna kanser itu boleh merebak dengan mudah ke dalam bola mata atau ke atas ke pangkal otak.
“Petanda amaran yang perlu diperhatikan adalah pendarahan hidung dan pipi bengkak. Petanda lain yang mudah terlepas pandang termasuk kebas muka yang tidak dapat dijelaskan, hidung tersumbat kronik pada sebelah bahagian sahaja dan gigi atas yang longgar tanpa punca yang jelas.
“Rawatan memerlukan tulang dan tisu dibuang. Pakar bedah akan membina semula dasar soket mata atau bumbung mulut dengan teliti menggunakan implan obturator atau flap bebas, di mana tisu, tulang dan saluran darah yang sihat dipindahkan dari bahagian lain badan pesakit sendiri (seperti kaki atau lengan) untuk membina semula wajah mereka dan memulihkan kebolehan mereka untuk makan dan bercakap,” katanya.
Rawatan
Rawatan pembedahan kanser kepala dan leher antara bidang yang paling kompleks dalam dunia perubatan. Ia memerlukan kerjasama erat pelbagai disiplin kepakaran seperti onkologi, oromaksilofasial, oftalmologi, neurosurgeri, vaskular, ortopedik serta pasukan kesihatan bersekutu.
Dr. Azmi berkata, kepakaran pembedahan plastik dan rekonstruktif pula memainkan peranan yang amat penting dalam memulihkan fungsi asas seperti makan, bertutur, bernafas dan melihat, sekali gus meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Pada majlis itu, Dr. Azmi menggumumkan secara rasmi penubuhan pasukan Rekonstruktif Pembedahan Onko kepala dan leher UKM. Penubuhan pasukan ini adalah satu langkah strategik yang akan memperkukuh lagi keupayaan HCTM sebagai pusat rujukan dalam penyediaan rawatan pembedahan kanser kepala dan leher yang kompleks serta bertaraf tinggi.
“Pasukan pembedahan ini sebenarnya diwujudkan sejak 2006 di bawah pimpinan Prof. Dr. Mohd. Razif Mohamad Yunus. Walaupun pernah berdepan cabaran akibat perubahan sumber kepakaran, usaha membangunkan perkhidmatan ini tidak pernah terhenti.
“Kini, dengan pengukuhan kepakaran Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif yang diterajui oleh Dr. Adzim Poh Yuen, semakin ramai pesakit berjaya menjalani rekonstruksi menggunakan teknik free flap, sekali gus meletakkan HCTM sebaris dengan pusat rawatan bertaraf tinggi,” katanya.
Pasukan itu juga akan terus diperkasakan melalui kolaborasi antara disiplin, pembangunan kepakaran, penyelidikan dan inovasi agar lebih ramai pesakit mendapat akses kepada rawatan komprehensif yang bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah mengembalikan fungsi, kualiti hidup dan keyakinan diri mereka. –UTUSAN
The post Kanser kepala, leher semakin kerap berlaku appeared first on Utusan Malaysia.
