Kanser serviks, jangan tunggu hingga terlambat

Health & Fitness
21 Aug 2026 • 11:38 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kanser serviks, jangan tunggu hingga terlambat

Kanser serviks bukan lagi penyakit yang hanya menyerang wanita berusia. Ia sering bermula secara senyap. Kegagalan menjalani saringan dan menganggap pendarahan tidak teratur sebagai kesan stres atau membiarkan perubahan luar biasa pada kitaran haid.

Bagi kebanyakan wanita Malaysia, tanda-tanda amaran awal inilah yang sering diabaikan sehinggalah penyakit tersebut melarat.

Dahulu, penyakit ini dianggap sebagai kanser yang dihidapi oleh wanita di usia emas. Bagaimanapun, data terkini memberi realiti yang berbeza. Kanser serviks kini merupakan kanser keempat paling lazim dalam kalangan wanita di seluruh dunia dan ketiga antara wanita Malaysia.

Dari jumlah itu, lebih separuh daripada kes berlaku pada wanita berusia 40 hingga 59 tahun. Lebih membimbangkan, pakar ginekologi dan pakar perubatan kecemasan melihat peningkatan itu kepada jumlah pesakit yang lebih muda, ada berusia lewat 20-an didiagnosis pada tahap lanjut.

“Kanser serviks boleh dicegah, namun ramai wanita mula mendapatkan rawatan pada tahap yang sudah terlewat.

“Kebanyakan pesakit saya yang muda menghidap kanser serviks tidak pernah melakukan ujian pap smear sebelum didiagnosis.

“Mereka tidak menyangka bahawa mereka juga berisiko,” kata Pakar Obstetrik dan Ginekologi serta Pakar Bedah Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Andi Anggeriana Andi Asri.

Pakar kesihatan menyatakan bahawa wanita muda semakin banyak didiagnosis dengan kanser serviks disebabkan kelewatan saringan dan kesedaran yang rendah terhadap risiko-risiko awal. Wanita dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an sering mengutamakan pendidikan, kerjaya dan komitmen keluarga berbanding pemeriksaan kesihatan rutin. Mereka yang lain pula mengelakkan saringan akibat rasa tidak selesa atau stigma yang menyelubungi pemeriksaan ginekologi.

Kanser serviks terutama disebabkan oleh virus papilloma manusia (HPV), virus biasa yang berjangkit melalui sentuhan kulit ke kulit, termasuk aktiviti seksual.

Walaupun kebanyakan jangkitan HPV pulih secara semula jadi, namun strain berisiko tinggi seperti HPV 16 dan 18 boleh menyebabkan perubahan selular secara senyap yang mungkin berkembang menjadi kanser jika tidak dikesan.

“Terdapat tanggapan salah bahawa kanser serviks hanya menyerang wanita berusia atau yang sudah berkahwin.

“Hakikatnya, virus HPV yang menjadi punca kepada lebih 90 peratus kes kanser serviks boleh dijangkiti seawal hubungan seksual pertama, walaupun hanya dengan seorang pasangan,” katanya.

Di Malaysia, lebih daripada 90 peratus kes kanser serviks dikaitkan dengan HPV.

Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa enam daripada 10 wanita masih tidak menjalani ujian pap smear dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Ini mengakibatkan banyak kes gagal dikesan pada peringkat awal yang sepatutnya boleh dicegah.

Menurut Pakar Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Mohd. Khalis Abdul Rahim, terdapat pesakit yang hanya ke bilik kecemasan apabila simptom mereka sudah melarat.

Beliau berkata, tanda-tanda amaran selalunya tidak diendahkan sehinggalah mencapai tahap tidak lagi boleh dibiarkan.

“Kami sering melihat wanita datang dengan pendarahan vagina yang tidak normal selepas aktiviti seksual, pada waktu selain tempoh haid, atau menopaus. Mereka menyangka ia hanyalah kitaran haid yang lebih berat. Tetapi pada masa itu, kanser mungkin sudah berada di tahap lanjut,” katanya.

Pendarahan di luar kitaran haid, keputihan berterusan yang berbau, sakit pelvis atau pendarahan selepas aktiviti seksual seharusnya memerlukan pemeriksaan doktor segera.

“Jika simptom ini berlarutan dalam satu atau dua kitaran, jangan tunggu. Segera lakukan pemeriksaan,” nasihatnya.

Aplikasi penjejak haid dan jam tangan pintar kini menjadi alat popular untuk memantau kitaran haid dan kesihatan secara umum. Namun, beliau mengingatkan bahawa alatan itu tidak seharusnya dijadikan pengganti untuk diagnosis perubatan.

Walaupun teknologi dapat membantu mengesan perubahan seperti kitaran haid tidak teratur atau keletihan yang berterusan, namun ia hanya bertujuan meningkatkan kesedaran, bukan menggantikan saringan klinikal.

“Aplikasi boleh membantu mengenal pasti kelainan, tetapi tidak dapat memberitahu apa yang tidak kena. Ujian pap smear atau ujian HPV tetap menjadi ‘gold standard’ untuk mengesan keabnormalan serviks pada peringkat awal,” kata Dr. Andi Anggeriana.

Vaksin HPV adalah salah satu cara paling berkesan untuk mencegah kanser serviks. Program sekolah di Malaysia menawarkan secara percuma kepada remaja perempuan berusia 13 tahun.

Bagaimanapun kadar pengambilan remaja yang lebih tua dan dewasa masih tidak konsisten.

“Walaupun anda berada di usia 20-an atau awal 30-an, vaksin ini masih boleh mengurangkan risiko anda. Ia tidak melindungi daripada semua jenis HPV, tetapi adalah lapisan perlindungan yang kuat,” katanya.

Pengesanan awal bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah dapat membantu mengekalkan kesuburan.

Sebaliknya, diagnosis pada tahap lewat sering memerlukan kemoterapi, radiasi atau pembedahan yang kompleks yang mempunyai kesan jangka panjang terhadap kesihatan fizikal dan emosi.

“Jika mengesan pada tahap awal, kita mungkin tidak perlu membuang rahim. Ada sesetengah wanita, malah boleh hamil secara normal selepas itu,” jelas beliau.

Sementara itu, Dr. Andi Anggeriana dan Dr. Khalis menyarankan wanita bertanya kepada diri sendiri tiga soalan mudah jika mereka menyedari perubahan dalam kitaran mereka.

“Adakah pendarahan ini berlaku di luar kitaran biasa saya? Adakah telah berlaku lebih daripada sekali? Adakah saya akan risau jika perkara ini berlaku kepada kakak, anak perempuan, atau rakan saya?”

“Jika jawapannya ya, kepada mana-mana soalan ini, jangan tunggu lagi. Walaupun mungkin bukan sesuatu yang serius, namun pemeriksaan ini akan memberikan anda ketenangan fikiran.

“Jika anda berasa tidak selesa dengan seorang doktor, carilah doktor lain. Kesihatan anda terlalu penting untuk diabaikan,” tambah Dr. Andi Anggeriana.

Kanser serviks adalah salah satu daripada segelintir kanser yang sangat boleh dicegah.

Melalui saringan berkala, vaksinasi HPV dan kepekaan terhadap simptom awal, wanita mampu mengambil langkah proaktif dalam melindungi kesihatan mereka.

The post Kanser serviks, jangan tunggu hingga terlambat appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved