
Kantoi Main "Game" Masa Mesyuarat, Beri Alasan Lupa Bagi Lembu Maya Makan
Ketua Fraksi Parti Gerindra Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Jember, Hanan Kukuh Ratmono mendedahkan alasan anggota DPRD Jember, Achmad Syahri Assidiqi bermain permainan video ketika mesyuarat.
Menurut Hanan, Syahri sempat mengaku kepadanya bahawa beliau sedang memberi makan lembu dalam permainan video yang dimainkan ketika sidang mendengar pendapat berlangsung.

"Mesyuarat bermula jam 10 pagi hingga 2 petang. Kemudian pada jam 1 tengah hari, saya terlupa memberi makan lembu saya," ujar Hanan meniru semula penjelasan dari Syahri.
Namun, lembu yang dimaksudkan bukanlah haiwan ternakan yang sebenar. Sebaliknya lembu dalam permainan video digital, Clash of Clans (COC).

Hanan berkata lagi, pengakuan tersebut disampaikan oleh Syahri sebelum video dirinya tular dan dikritik oleh orang ramai. Namun begitu, Fraksi Gerindra tetap berpendapat bahawa tindakan tersebut tidak dibenarkan kerana dilakukan sewaktu mesyuarat sedang berlangsung.
Tambahan pula, mesyuarat tersebut membincangkan isu kesihatan masyarakat seperti campak, kadar kematian ibu dan bayi serta Universal Health Coverage (UHC).
Sebelumnya, Mahkamah Kehormatan Parti (MKP) Gerindra telah memberikan hukuman dan teguran keras terakhir kepada Achmad Syahri selepas video dirinya bermain telefon sambil merokok ketika mesyuarat tular di media sosial.
Dalam keputusan itu, Achmad Syahri didapati melanggar kewajipan menjaga kehormatan dan dispilin parti. Hanan juga akan turut memastikan bahawa partinya akan melakukan penilaian terhadap semua anggota agar kejadian sama tidak berulang lagi.
Baca juga:
Mahu Sebut "Hakim", Prabowo Tersasul Sebut Kenaikan Gaji Guru Hampir 300 Peratus
Prabowo 'Puas' Gaji Hakim Indonesia Lebih Tinggi Daripada Malaysia
Mengaku silap dan sampaikan permintaan maaf
Sementara itu, Achmad Syahri telah mengakui kesilapannya dan telah menyampaikan permohonan maaf secara terbuka.
Permohonan maaf itu disampaikan oleh beliau melalui video singkat pada Rabu lalu selepas beliau memilih untuk diam dan tidak memberi respon terhadap perkara tersebut.
"Saya Ahmad Syahri Assidiqi, anggota DPRD Komisi D Kabupaten Jamber, dengan rendah hati memohon maaf kepada masyarakat Jamber khususnya kepada Ketua Umum Gerindra dan juga kepada DPP Gerindra atas apa yang telah berlaku," jelasnya dalam video tersebut.
Syahri juga mengakui tindakannya itu adalah salah dan menyebut peristiwa tersebut sebagai pengajaran dalam hidupnya.
Dalam pernyataannya, Syahri juga menyatakan beliau sanggup menerima hukuman. Malah, beliau juga menambah bahawa dirinya hanyalah seorang anak muda yang masih memiliki banyak kekurangan.
Syahri juga berharap peristiwa tersebut tidak akan berulang lagi dan memohon maaf setulusnya kepada masyarakat, khususnya masyarakat Jamber.
