Kapal Angkasa Taman Tema Terhempas, Anak & Ibu Cedera Tulang Belakang

15 Sep 2022 • 11:04 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Suasana gembira seorang anak dan ibunya bertukar mimpi ngeri apabila kapal angkasa taman tema dinaiki mereka terhempas ke tanah sehingga menyebabkan tulang belakang masing-masing tercedera.

Kejadian ngeri yang berlaku di sebuah pesta ria di Sao Paolo, Brazil baru-baru ini itu sempat dirakam pengunjung lain yang turut berada di sekitar sana.

Menurut rakaman kejadian seperti yang dilapor Daily Star, pada awalnya kapal angkasa tersebut mula bergerak beransur-ansur menuju ke atas tiang.

Bagaimanapun ‘jentera’ hiburan tersebut turun semula ke tanah pada kelajuan yang dipercayai agak tinggi secara tiba-tiba, disyaki akibat tergelincir.

Selepas nahas mengejut itu terjadi, perkhidmatan kecemasan dipanggil ke tapak pesta ria berkenaan, selain pakar perubatan turut sama bergegas ke lokasi kejadian.

Tidak lama selepas itu, taman tema tersebut diarahkan tutup ekoran kejadian pendaratan mengerikan berkenaan bagi tidak mahu kemalangan lain berlaku di tempat yang sama.

Sementara itu, difahamkan kanak-kanak yang berusia 12 tahun dan ibunya 25 tahun itu dipercayai sudah memakai tali pinggang keselamatan masing-masing sebelum permainan bermula.

Dalam masa yang sama, ada seorang lagi kanak-kanak lain berusia empat tahun turut mengalami kecederaan dalam kemalangan itu selepas dirinya mengadu kesakitan.

Menurut sumber tempatan, mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan doktor masih menimbang tara sama ada memerlukan pembedahan atau tidak.

Mangsa turut mengadu mengenai kesakitan di belakang dan bahagian perut, namun tidak lama selepas itu, mangsa dibenarkan keluar dari hospital.

Ekoran kejadian itu, taman tema berkenaan diarahkan untuk membuat penutupan sementara agar juruteknik dapat mengenal pasti punca nahas tersebut berlaku.

Oleh itu, penilaian ditetapkan untuk dijalankan ke atas semua tunggangan (peralatan hiburan) di pesta ria itu.

Kemalangan lain hampir serupa di taman tema

image is not available
Keratan laporan terdahulu

Imbas kembali laporan terdahulu, turut pernah berlaku satu kejadian hampir serupa melibatkan kemalangan di taman tema seperti nahas yang terjadi di Indonesia kira-kira empat bulan yang lalu.

Memetik laporan Siakap Keli sebelum ini, seramai 16 orang pengunjung dilapor cedera dalam kejadian runtuhan gelongsor air di Taman Tema Kenjeran (Kenpark) Surabaya, Jawa Timur sekitar Jun lepas.

Memetik laporan Kompas.com, Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Surabaya ketika itu mengesahkan bahawa terdapat 16 mangsa yang kebanyakannya kanak-kanak terlibat dalam tragedi ngeri itu.

Ketua BPBD Surabaya, Ridwan Mubarun ketika itu berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 1.30 petang waktu tempatan.

Menurutnya, kejadian bermula apabila pengunjung menggunakan gelongsor di taman tema tersebut.

“Maklumat dari pengawal keselamatan mendapati bahawa kejadian berlaku apabila beberapa sambungan gelongsor tiba-tiba pecah dan runtuh ketika pengunjung berada di atas permainan tersebut.

“Akibatnya, puluhan pengunjung dilaporkan telah terjatuh dari gelongsor berketinggian 10 meter itu.

“Kami mengesyaki punca sambungan gelongsor itu pecah disebabkan oleh suhu cuaca yang semakin meningkat,” katanya seperti yang dilapor Kompas.com ketika itu.

Sumber: Daily Star