Kapal Dilapor Terkena Projektil Di Selat Hormuz, Bekalan Minyak Dunia Terancam

WorldBusiness & Finance
13 Sep 2026 • 2:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kapal Dilapor Terkena Projektil Di Selat Hormuz, Bekalan Minyak Dunia Terancam

KUALA LUMPUR - Kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak dunia semakin meningkat selepas sebuah kapal dilaporkan terkena projektil ketika melalui Selat Hormuz, sehari selepas Arab Saudi menutup sementara saluran paip minyak utamanya susulan serangan dron.

United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO), badan pemantau keselamatan maritim yang mempunyai hubungan dengan Tentera Laut Diraja Britain, berkata pihaknya menerima laporan berhubung sebuah kapal yang terkena projektil ketika sedang melalui Selat Hormuz.

Bagaimanapun, tahap kerosakan kapal dan keadaan anak kapal masih belum diketahui.

Menurut laporan Reuters, insiden itu berlaku sehari selepas Arab Saudi mengumumkan penutupan sementara saluran paip East-West sepanjang 1,200 kilometer sebagai langkah berjaga-jaga susulan serangan dron.

Riyadh dan Baghdad mendakwa serangan berkenaan berpunca dari Iraq, lokasi kumpulan militia yang disokong Iran beroperasi.

Tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas saluran paip berkenaan.

Imej satelit menunjukkan asap hitam kelihatan naik dari kawasan saluran paip di selatan Madinah, manakala Kementerian Luar Arab Saudi memaklumkan serangan itu menyebabkan beberapa individu cedera serta kerosakan yang masih dalam penilaian.

Saluran paip berkenaan menjadi laluan eksport alternatif utama Arab Saudi ketika Selat Hormuz sebahagian besarnya ditutup akibat perang.

Ia dilaporkan membawa antara empat juta hingga lima juta tong minyak sehari, bersamaan kira-kira empat hingga lima peratus bekalan minyak global, sekali gus membantu Arab Saudi mengurangkan kesan gangguan terhadap pengeksport minyak dan gas lain di rantau Teluk.

Perkembangan terbaharu itu dijangka meningkatkan tekanan terhadap pasaran tenaga selepas harga minyak mentah Brent kembali melonjak melebihi AS$100 setong minggu lalu.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang berada di Ireland bagi menghadiri kejohanan golf di salah satu resort miliknya, berkata Iran berkemungkinan bertanggungjawab terhadap serangan ke atas saluran paip Arab Saudi.

Pada Sabtu, Pertahanan Awam Arab Saudi memaklumkan projektil yang dilancarkan Houthi mencederakan dua individu di wilayah Jazan selain merosakkan beberapa bangunan termasuk sebuah masjid.

Perkembangan berkenaan turut meningkatkan tekanan terhadap Washington untuk membantu Arab Saudi menentang Houthi, sekali gus berisiko memperluas lagi konflik di rantau berkenaan.

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, dilaporkan menghubungi Trump pada Khamis bagi meminta bantuan ketenteraan AS untuk menentang Houthi.

Menurut tiga sumber yang mengetahui perkara itu, Trump memaklumkan kepada pemimpin Arab Saudi bahawa Washington tidak akan campur tangan secara langsung buat masa ini, namun akan memberikan sokongan risikan.

Trump pada Sabtu mengesahkan beliau telah bercakap dengan Putera Mahkota itu dan berkata Houthi turut menghubungi pentadbirannya untuk meminta Washington tidak terlibat secara langsung.

Dalam perkembangan berkaitan, empat sumber kerajaan Yaman mendakwa Houthi menawan pulau strategik Perim pada Jumaat di Selat Bab el-Mandeb, laluan perkapalan penting yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden.

Sementara itu, usaha untuk mencapai kejayaan dalam rundingan bagi menamatkan konflik AS-Iran dilihat masih berdepan jalan buntu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara Parlimen Iran, Ebrahim Azizi, berkata dialog dan rundingan tidak akan membawa hasil selagi AS tidak menerima semua syarat yang ditetapkan Tehran.

Kementerian Luar Iran pada Jumaat mengesahkan Tehran akan menghadiri pertemuan dengan negara-negara Arab Teluk di Oman pada Isnin bagi membincangkan masa depan Selat Hormuz.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Iran berkata pertemuan yang dicetuskan Oman itu tidak dijangka menghasilkan kejayaan besar atau perjanjian yang ditandatangani.

Menurut sumber kepada agensi berita Tasnim, satu cadangan perjanjian mengenai laluan kapal melalui Selat Hormuz antara Iran dan Oman akan dibentangkan pada pertemuan itu yang turut disertai Iraq.

Namun, laluan perairan berkenaan tidak akan dibuka semula melainkan tujuh syarat yang disampaikan Iran kepada AS dipenuhi.

Iran mahu kawalannya terhadap Selat Hormuz diiktiraf, termasuk hak mengenakan bayaran terhadap kapal yang menggunakan laluan berkenaan.

Bagaimanapun, tuntutan itu ditolak Washington.

Oman, yang menguasai bahagian bertentangan Selat Hormuz, berkata pihaknya sedang berunding dengan persetujuan negara-negara lain di rantau berkenaan. - Getaran, 13 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved