
DUBAI: Pasukan pengawal pantai menyelamatkan semua kru sebuah kapal dagang berbendera India yang karam selepas diserang di Laut Merah , kata seorang pegawai tempatan di bandar Mokha, Yemen.
New Delhi mengecam serangan itu yang dibuat sewenang-wenangnya tanpa sebarang provokasi.
Kerajaan Yemen yang diiktiraf antarabangsa menuduh kumpulan pemberontak Houthi disokong Iran bertanggungjawab terhadap serangan itu, menurut agensi berita rasmi Saba.
Bulan lalu, Houthi mengisytiharkan sekatan maritim di Laut Merah ke atas Arab Saudi, pengeksport minyak mentah terbesar dunia dan sejak itu mengaku melancarkan beberapa serangan terhadap kapal tangki minyak serta kemudahan infrastruktur.
Semua kru kapal MSV Faize Noore Oliya yang terdiri daripada 13 warga India dan seorang warga Yemen berjaya diselamatkan selepas kapal itu diserang di selatan bandar pelabuhan Hodeida, kata pegawai dari Mokha.
Menteri Perkapalan India, Sarbananda Sonowal menerusi platform X berkata, kapal itu terkena tembakan peluru berhampiran perairan Yemen.
“India mengecam sekeras-kerasnya serangan tanpa sebarang provokasi ini,” katanya.
India merupakan antara penyumbang terbesar tenaga pelaut kepada industri perkapalan dagang dunia, dengan lebih 320,000 pelaut aktif pada 2025, menurut Kementerian Perkapalan negara itu.
“Sasaran terhadap kapal dagang di rantau ini mesti dihentikan,” kata jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal.
Sekatan Iran di Selat Hormuz di seberang Semenanjung Arab susulan tercetusnya perang di Asia Barat menjadikan laluan perkapalan melalui Laut Merah semakin penting.
Pelabuhan Yanbu di Laut Merah milik Arab Saudi membolehkan negara itu meneruskan penghantaran minyak ke pasaran global dengan mengelakkan laluan melalui Selat Hormuz sepenuhnya.-AFP
The post Kapal India karam diserang di Laut Merah appeared first on Utusan Malaysia.

