Kapal MRSS, LMS Batch 3 dan helikopter antikapal selam kuatkan TLDM menjelang 2035

29/04/2025 - 10:56
Helikopter antikapal selam Super Lynx TLDM perlu diganti. FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH
Perolehan aset-aset baharu terus menjadi tumpuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi melaksanakan pemodenan secara mengikut kemampuan kewangan negara.
Perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) ialah pembelian 2 kapal sokongan logistik pelbagai peranan (MRSS), 3 kapal misi pesisir (LMS) Batch 3 dan 4 helikopter antikapal selam.
Kesemua aset ini dijangka digunakan sebelum tahun 2035 iaitu dalam tempoh 10 tahun lagi.
Perancangan ini disebut Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dalam ucapannya semasa perbarisan Hari Ulangtahun TLDM Ke-91 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Ahad lalu.

Tegasnya, perolehan set ini bukan sahaja dapat memperkukuh elemen cegah rintang tetapi turut menyumbang kepada keupayaan tempur TLDM.
Ia akan dibangunkan melalui kerjasama limbungan tempatan dan antarabangsa bagi memperkasakan industri pertahanan negara.
Pelaksanaan Pelan Transformasi 15to5 serta dasar pertahanan maritim yang digariskan akan terus memacu TLDM sebagai angkatan laut moden, berdikari dan disegani di rantau ini.
Sebenarnya, tempoh masa yang digariskan oleh PTL adalah relevan dengan RMK-13 bakal bermula pada tahun hadapan (2026-2030).
Bermakna, perolehan yang disebut ini perlu dilaksanakan dalam tempoh tersebut supaya dapat menepati sasaran hendak dioperasikan pada tahun 2035.


Bagi projek LMS Batch 3, pembinaan dijangka melibatkan 3 buah kapal menjadikan TLDM mempunyai sekurang-kurangnya 6 buah kapal LMS berprestasi tinggi menjelang 2035.
Memandangkan 3 kapal LMS Batch 2 sedang dibina di Türkiye maka memilih syarikat perkapalan sedia ada untuk meneruskan projek tersebut merupakan satu kelebihan.
Dengan mengekalkan rekaan korvet kelas ADA bagi kapal LMS Batch 3 memberi kelebihan kepada TLDM terutamanya dalam soal penyelenggaraan dan persamaan pelbagai kelengkapan.
Rekod cemerlang limbungan kapal Türkiye dalam menyiapkan tempahan kapal-kapal negara pembeli juga memberi kelebihan kepada negara tersebut.
Ketika ini Türkiye telah memulakan kerja-kerja awal membina 2 daripada 3 kapal LMS Batch 2 TLDM dan pada masa mempunyai kontrak menyiapkan kapal negara lain.


Sekiranya kontrak LMS Batch 3 diberi kepada Türkiye pada tahun 2027 atau 2028, dijangka kapal-kapal tersebut boleh disiapkan dalam tempoh 3 tahun.
Pembinaan LMS Batch 3 memang perlu disegerakan kerana kapal-kapal jenis ini sangat diperlukan terutamanya untuk operasi di Laut China Selatan.
Walaupun pada masa sama projek 5 buah kapal tempur pesisir (LCS) sedang disiapkan, namun kapal LMS masih diperlukan untuk peranan berbeza.
LCS 1 dijangka diserah kepada TLDM pada Ogos 2026 manakala pelancaran pembinaan LCS 2 dan LCS 3 masing-masing akan dilaksanakan pada Jun 2025 dan Januari 2026.
Selain penugasan di perairan Sabah dan Sarawak, kapal-kapal LMS juga diperlukan untuk beroperasi di Selat Melaka dan di negeri pantai timur.

Bagi program MRSS, Kementerian Pertahanan (Mindef) dijangka akan menawarkan tender untuk membekalkan kapal tersebut pada tahun ini kepada syarikat yang layak.
Kontrak ini telah pun menarik beberapa buah syarikat perkapalan gergasi yang bersedia menawarkan TLDM dengan pelbagai rekabentuk kapal MRSS moden.
Walaupun jika syarikat pemenang diumumkan tahun ini, namun jangkaan kontrak sebenar dimeterai pada tahun hadapan dengan mengambil kira pelbagai proses lain.
Sekiranya bayaran pertama boleh dibuat kerajaan kepada syarikat tersebut, maka kerja-kerja pembinaan kapal boleh dimulakan.
Walaupun tidak dinyatakan tetapi kontrak membekalkan kapal MRSS dijangka antara RM3 hingga RM5 bilion.


Kapal MRSS merupakan aset strategik bertujuan meningkatkan keupayaan maritim negara khususnya logistik dan atur gerak.
Program yang dirancang sejak 20 tahun lalu itu telah beberapa kali tertangguh yang mana kelewatan pembelian boleh merencatkan keupayaan TLDM.
Berhubung helikopter antikapal selam, difahamkan beberapa syarikat asing telah menawarkan pesawat masing-masing untuk memikat TLDM.


Dengan pengalaman mengoperasikan helikopter jenis sama selama lebih 20 tahun, TLDM semestinya lebih arif tentang calon yang menepati kehendaknya.
Apa pun, diharap rancangan yang digariskan oleh PTL ini tidak hanya tinggal di atas kertas kerana perkara yang lebih penting ialah komitmen kerajaan untuk menunaikan permintaan tersebut. - DagangNews.com
featured standard

