
JAKARTA: Kapal pengangkut pesawat ITS Giuseppe Garibaldi dijadualkan tiba di perairan Indonesia bulan depan dan akan dinamakan semula sebagai KRI Gajah Mada.
Ia dijadualkan membuat kemunculan sulung pada sambutan ulang tahun ke-81 Tentera Nasional Indonesia (TNI) pada Oktober ini sebagai sebahagian daripada pelayaran perbarisan kapal.
Kapal pengangkut pesawat itu turut akan digunakan sebagai kapal untuk tetamu orang kenamaan dan sangat penting (VVIP).
“Berdasarkan perancangan awal, Garibaldi akan mengambil bahagian sebagai salah satu kapal dalam pelayaran perbarisan sempena ulang tahun ke-81 TNI,” kata Ketua Dinas Penerangan Tentera Laut Indonesia, Laksamana Pertama Tunggul, ketika dihubungi ANTARA di Jakarta pada Selasa.
Tunggul berkata, ia akan belayar bersama sejumlah kapal Tentera Laut Indonesia sebagai sebahagian daripada perbarisan tentera laut yang menampilkan sistem persenjataan utama negara itu.
Giuseppe Garibaldi juga dirancang untuk digunakan sebagai kapal VVIP bagi tetamu penting, termasuk presiden, menteri dan pegawai TNI, ketika perbarisan sistem persenjataan tentera laut tersebut.
Bagaimanapun, Tunggul tidak memberikan butiran mengenai konsep perbarisan tentera laut itu atau lokasi pelayaran perbarisan sempena ulang tahun ke-81 TNI.
Kapal Giuseppe Garibaldi kini sedang belayar dari Itali ke Indonesia dan dijadualkan tiba pada pertengahan September 2026.
Ketua Staf Tentera Laut Indonesia, Laksamana Muhammad Ali, sebelum ini berkata, kapal pengangkut pesawat itu dijangka tiba antara 15 hingga 20 September 2026.
Sepanjang pelayaran ke Indonesia, kapal itu akan kekal menggunakan nama ITS Giuseppe Garibaldi dan terus belayar di bawah bendera Itali.
Kapal itu dijangka mengambil masa lebih 20 hari untuk tiba di Indonesia, dan melalui Terusan Suez serta Laut Merah diiringi kapal frigat Itali.
Sebaik tiba di Indonesia, kapal pengangkut pesawat yang diperoleh melalui pemberian antara kerajaan itu akan dinamakan semula sebagai KRI Gajah Mada dan menggunakan bendera Indonesia, kata Ali.
Ali berkata, kapal pengangkut pesawat itu kelak mampu mengendalikan helikopter milik Tentera Laut Indonesia, Tentera Udara Indonesia dan Tentera Darat Indonesia.
Kapal itu dibina oleh Tentera Laut Indonesia pada 1980-an dan pernah menyertai operasi ketenteraan di Somalia, Kosovo, Afghanistan dan Libya, – AGENSI
The post Kapal pengangkut pesawat pertama Indonesia akan tiba bulan depan appeared first on Utusan Malaysia.

