
Kapal Perang Iran Ditenggelamkan: 87 Orang Terkorban
Sekurang-kurangnya 87 kelasi terkorban dan puluhan lagi hilang susulan kapal selam Amerika Syarikat (AS) menenggelamkan sebuah kapal perang Iran di luar pantai Sri Lanka pada Rabu.
Memetik AFP, kejadian itu berlaku ketika perang yang tercetus akibat serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran terus merebak ke seluruh Timur Tengah.
Menurut polis dan pegawai pertahanan, tentera laut Sri Lanka menemui 87 mayat kelasi dari perairan berhampiran bandar selatan Galle, namun 61 lagi masih hilang.

“Operasi mencari masih diteruskan bagi yang lain,” kata seorang pegawai tentera laut kepada AFP.
Terdahulu, Menteri Luar Vijitha Herath berkata pasukan Sri Lanka telah menyelamatkan 32 kelasi dan kebanyakan dari mereka cedera.
Kelasi yang diselamatkan sedang menerima rawatan di Galle.
AS memaklumkan serangan ke atas kapal itu menggunakan torpedo.
“Sebuah kapal selam AS menenggelamkan kapal perang Iran yang menyangka ia selamat di perairan antarabangsa. Sebaliknya, ia ditenggelamkan oleh torpedo,” kata Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, kepada wartawan di Washington.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai 'kematian senyap' dan penenggelaman pertama kapal musuh oleh AS menggunakan torpedo sejak Perang Dunia Kedua.
“Seperti dalam perang itu, kita berjuang untuk menang," kata Hegseth.
Video rakaman periskop kapal selam Tentera Laut AS ketika kejadian turut didedahkan oleh Jabatan Pertahanan pada Rabu.
Kapal tersebut mengeluarkan isyarat kecemasan pada waktu subuh tetapi telah tenggelam sepenuhnya ketika kapal penyelamat tiba di kawasan itu dalam tempoh sejam, hanya meninggalkan tompokan minyak di permukaan laut.
Kapal perang itu dalam pelayaran selepas dilaporkan menghadiri latihan ketenteraan di pelabuhan timur India, Visakhapatnam.

Serangan berlaku hanya 40 kilometer (25 batu) di selatan Galle, menurut tentera laut tempatan.
Iran masih belum mengulas mengenai penenggelaman itu. Duta Tehran di Colombo, Alireza Delkhosh, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen segera.
Jurucakap tentera laut Sri Lanka, Buddhika Sampath berkata tindak balas Sri Lanka terhadap isyarat kecemasan itu adalah selaras dengan tanggungjawab maritimnya.
“Ini berada dalam kawasan pencarian dan penyelamatan kami di Lautan Hindi,” katanya.
