
Kapal Pesiar & Bot Bertembung: Dua Maut, Lima Hilang
Dua orang terbunuh manakala lima lagi dilaporkan hilang selepas sebuah bot bermotor kecil bertembung dengan sebuah kapal persiaran di Sungai Danube di utara Budapest pada Sabtu.
Menurut polis tempatan, unit tindak balas bencana termasuk 95 kakitangan, 25 kapal dan dron sedang mencari lima orang yang hilang di seluruh bahagian Hungaria di Danube.
Jurucakap polis Budapest, Soma Csecsi berkata, lapan orang dewasa berada di atas bot bermotor kecil itu semasa perlanggaran berlaku.
Kemalangan itu dilaporkan pada Sabtu malam selepas seorang lelaki ditemui dengan luka di kepala berhampiran jalan utama di tepi sungai berhampiran Veroce.
Berdasarkan laporan, mayat seorang lelaki ditemui di selatan Veroce, manakala mayat seorang wanita ditemui lebih jauh ke hilir berhampiran sebuah jambatan di pinggir utara Budapest, di mana polis turut menemui bot yang rosak itu.
Beliau menyatakan bahawa kapal persiaran yang terlibat dalam kemalangan itu telah dilabuhkan di bandar Komarom dan menunjukkan tanda-tanda kerosakan di bahagian tepi kapal.
Susulan itu, polis telah membuka kertas siasatan terhadap seorang pelaku yang tidak diketahui untuk menentukan punca kemalangan tersebut.
Sumber: Astro Awani
The post Kapal Pesiar & Bot Bertembung: Dua Maut, Lima Hilang appeared first on Siakap Keli.
