Kapal Selam Titan Musnah Dalam Masa Kurang 20 Milisaat

24 Oct 2025 • 4:26 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Misteri bagaimana kapal selam Titan yang meleduk ketika melakukan perjalanan ke kapal Titanic dua tahun lalu akhirnya terjawab. Dalam laporan akhir yang dikeluarkan oleh Badan Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat (NTSB) minggu lalu, Titan meleduk kerana lapisan gentian karbon yang digunakan pada tubuh kapal selam gagal pada kedalaman 3363 meter (11,033 kaki) dengan tekanan 3,866,883 kg/m2 (5,500 PSI). Pada tekanan ini, keseluruhan kapal selam musnah dalam masa kurang 20 milisaat.

Lima anak kapal Titan termasuk pengasas syarikat OceanGate, Stockton Rush meninggal dunia secara serta merta. Hanya cebisan daging penumpang berjaya dijumpai pasukan yang ditugaskan mengumpul puing daripada dasar laut.

image is not available

NTSB menyalahkan OceanGate kerana terus membawa pelancong ke Titanic walaupun kerosakan pada gentian karbon telah dikesan oleh sistem keselamatan Titan pada lapan selaman terdahulu sebelum kemalangan berlaku. Sistem pengecasan akustik Titan terdiri daripada sensor bunyi di beberapa kawasan di tubuh Titan. Apabila gentian karbon mula retak atau terputus, sensor akan mengesannya dengan segera. Sepatutnya apabila kerosakan ini dikesan, tubuh perlu digantikan segera.

Tetapi kerana OceanGate sudah kekurangan dana meneruskan operasi serta telahpun mengambil bayaran daripada beberapa pelancong, beberapa misi ke Titanic diteruskan dengan ia sekadar menanti saat untuk musnah. Ini akhirnya berlaku pada 18 Jun 2923.

OceanGate kini berhadapan saman oleh keluarga mangsa dan beberapa jurutera yang dipecat oleh Stockton Rush kerana memberikan amaran Titan tidak lagi selamat untuk digunakan.

View Original Article