Kapal tangki bawa diesel ditahan, gagal kemuka dokumen miliki barang kawalan

4 Jul 2025 • 2:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 4 JULAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah kapal tangki susulan gagal mengemukakan dokumen kebenaran memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan tanpa permit atau lesen khas di perairan negeri itu, semalam.

Pengarahnya Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan itu dibuat sekitar 1.30 tengah hari oleh kapal APMM di kedudukan kira-kira satu batu nautika barat Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang ketika sedang melakukan rondaan rutin Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris 3.0.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal mendapati kapal itu dikendalikan oleh seorang kapten berumur 43 tahun bersama enam kru dalam lingkungan 21 hingga 51 tahun yang kesemuanya warga Indonesia dan mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.

“Hasil penggeledahan ke atas kapal berkenaan menemui minyak diesel dianggarkan 62,000 liter dan kapten kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk membawa barang kawalan tersebut.

“Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan. Kapten kapal dan seorang pegawai jurutera ditahan serta dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.

Abdul Muhaimin berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana gagal mengemukakan sebarang bukti dokumen kebenaran memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan tanpa permit atau lesen khas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

– BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved