
YAMAN – Sebuah kapal tangki minyak dilaporkan dirampas dalam serangan bersenjata oleh pihak tidak dikenali di luar pantai negara itu, mencetuskan operasi segera oleh pihak berkuasa untuk mengesan dan mendapatkan semula kapal berkenaan.
Menurut kenyataan Pengawal Pantai Yaman yang dipetik daripada Anadolu Ajansi, kejadian melibatkan kapal tangki M/T EUREKA yang diserang di perairan wilayah Shabwa.
Pengawal pantai memaklumkan bahawa kapal tersebut telah dinaiki individu bersenjata sebelum mereka mengambil alih kawalan dan mengarahkannya bergerak menuju ke Teluk Aden, dipercayai ke arah perairan Somalia.
Sejurus menerima laporan, pihak berkuasa bertindak pantas dengan melancarkan operasi mencari dan mengesan menggunakan dua bot peronda dari Aden serta beberapa bot kecil dari Shabwa, meskipun berdepan kekangan sumber dan situasi keselamatan semasa negara.
Lokasi Kapal Berjaya Dikesan, Operasi Dipertingkat
Dalam perkembangan sama, pihak pengawal pantai turut memaklumkan bahawa lokasi kapal telah berjaya dikenal pasti dan kini berada dalam pemantauan rapi, dengan usaha berterusan dijalankan bagi mendapatkan semula kapal serta memastikan keselamatan semua anak kapal.
Tiada mana-mana kumpulan setakat ini tampil mengaku bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.
Sementara itu, United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO) turut melaporkan satu lagi insiden berasingan berlaku di luar pantai Mukalla, wilayah Hadramout, kurang 24 jam daripada kejadian pertama.
Menurut laporan tersebut, nakhoda sebuah kapal kargo memaklumkan sebuah bot kecil berwarna hijau menghampiri kapal mereka dalam jarak kira-kira 500 meter, diiringi sebuah kapal nelayan putih, namun tiada maklumat lanjut didedahkan mengenai kejadian itu.
Situasi keselamatan maritim di perairan sekitar Yaman kini dilihat semakin tegang susulan peningkatan insiden mencurigakan dalam tempoh singkat. – The Malaysian Update
The post Kapal Tangki Minyak Dirampas Di Luar Pantai Yaman, Menuju Ke Teluk Aden appeared first on The Malaysian Update.





