Kapal TLDM telah berusia, perlu ditukar: Sultan Selangor

10 Jan 2023 • 2:55 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap aset keselamatan negara khususnya kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berusia dan perlu ditukar.

Kebimbangan itu dizahirkan baginda ketika pertemuan dengan Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Khamis lepas.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM bertitah semasa pertemuan tersebut bahawa pertukaran aset yang telah berusia itu perlu dilakukan demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dan dalam keadaan siap siaga.

Khamis lepas, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Mohd Reza sempena persaraan beliau di Istana Bukit Kayangan di sini.

Beliau dilantik sebagai PTL pada 30 Nov 2018 dan akan menyerahkan tugas kepada penggantinya pada 23 Jan ini.

Mohd Reza turut merafak sembah memperkenalkan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob yang bakal menggantikan beliau sebagai Panglima Tentera Laut ke-18. - Bernama