Kapasiti pam diganda di dua lokasi tangani banjir Kampung Melayu Subang

5 Nov 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kapasiti pam diganda di dua lokasi tangani banjir Kampung Melayu Subang

SHAH ALAM, 5 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menggandakan kapasiti pam air di Jalan Resak dan Desa Subang Perantau bagi mempercepat pengaliran air bertakung susulan banjir di Kampung Melayu Subang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim berkata pam baharu berkapasiti dua kali ganda dipasang di Jalan Resak kira-kira jam 12 tengah hari tadi, manakala pam lama dipindahkan ke Desa Subang Perantau.

Menurutnya, penambahan berkenaan menjadikan Desa Subang Perantau mempunyai dua pam air berbanding satu sebelum ini, sekali gus meningkatkan keupayaan mengepam air di kawasan tersebut.

“Terima kasih kepada pihak JPS kerana menyediakan pam baharu dengan kapasiti dua kali ganda berbanding sebelum ini bagi membantu mengalirkan air keluar ke Sungai Pelempas.

“Ini sebahagian daripada usaha jangka pendek sementara menunggu projek Sungai Pelempas dilaksanakan mulai tahun hadapan. Insya-Allah, usaha ini diharap dapat mengurangkan takungan air di kawasan terjejas,” katanya kepada Media Selangor.

Image from: Kapasiti pam diganda di dua lokasi tangani banjir Kampung Melayu Subang
Pam air baharu berkapasiti dua kali ganda dipasang di Jalan Resak, Kampung Melayu Subang kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, Izuan berkata beberapa kawasan di sepanjang Sungai Pelempas masih belum mempunyai tembok penahan bagi mengurangkan risiko limpahan air.

Menurutnya, keadaan itu berpotensi menyebabkan kawasan lain terus terjejas meskipun penambahan pam dijangka membantu mengurangkan takungan air di lokasi tertentu.

“Di kawasan ini mungkin berlaku sedikit pengurangan air, tetapi impaknya berkemungkinan lebih tinggi di bahagian belakang kerana masih terdapat jajaran sungai yang belum mempunyai tembok.

“Kita akan cuba memastikan tembok dibina di sepanjang jajaran Sungai Pelempas. Ini belum termasuk Sungai Pelumut yang juga antara ikhtiar akan diusahakan,” katanya.

Image from: Kapasiti pam diganda di dua lokasi tangani banjir Kampung Melayu Subang
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim meninjau pemasangan pam air berkapasiti dua kali ganda di Jalan Resak, Kampung Melayu Subang.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memaklumkan pihaknya tidak menunggu projek tebatan banjir berskala besar siap, sebaliknya mempercepat pelaksanaan 255 projek mitigasi segera bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berisiko tinggi seluruh Selangor.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 70 peratus daripada projek berkenaan yang membabitkan peruntukan hampir RM70 juta sudah siap, manakala bakinya disasarkan selesai menjelang akhir tahun ini.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved